Akses pendidikan awal diperkasa, prasekolah masuk IPG & KV

Iklan

Sebanyak 66 kelas prasekolah kini ditempatkan di institusi pendidikan di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menampung keperluan murid dan memperluaskan akses pendidikan awal kanak-kanak.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, daripada jumlah itu satu kelas ditempatkan di Institut Pendidikan Guru (IPG), empat di Kolej Vokasional, lapan di Matrikulasi dan 53 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Iklan
Iklan

Menurut beliau, di bawah aspirasi Kerajaan Madani, KPM mengambil pendekatan memperluaskan prasekolah ke institusi lain seperti Kolej Vokasional, SMK dan IPG bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

“Institusi ini bukan sahaja dapat menampung keperluan setempat, malah memberi peluang kepada anak-anak warga pendidik untuk mengikuti pendidikan prasekolah KPM di institusi berkenaan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Angpau Tahun 2026 di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Ipoh, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Kah Woh memaklumkan KPM telah menambah 150 kelas prasekolah tahun lalu dan menjangkakan 350 lagi kelas akan diperluaskan tahun ini membabitkan pelbagai jenis institusi di bawah kementerian itu.

Iklan

Pada 2025, katanya, KPM menampung 220,000 daripada kira-kira 370,000 murid prasekolah di seluruh negara, manakala selebihnya ditampung oleh agensi lain seperti KEMAS, JPNIN serta tadika swasta.

“Apa yang penting, prasekolah di bawah KPM, JPNIN dan Tabika KEMAS berada di bawah agensi kerajaan. Tadika swasta pula mengenakan yuran tertentu, namun kesemuanya membentuk ekosistem pendidikan awal kanak-kanak negara.

“KPM akan terus memperluaskan kelas prasekolah bagi memastikan lebih ramai kanak-kanak mendapat akses pendidikan awal yang berkualiti,” ujarnya.