Telefon pintar hari ini bukan lagi sekadar alat komunikasi, sebaliknya menjadi 'teman rapat' murid sejak usia muda.
Di dalamnya ada permainan, media sosial dan kumpulan WhatsApp iaitu ruang yang membuka peluang pembelajaran serta interaksi tanpa sempadan.
Namun, di sebalik kemudahan itu terselit risiko yang semakin membimbangkan iaitu buli siber.
Akses internet tanpa kawalan dan penggunaan gajet tidak dipantau menjadi antara pencetus utama gejala ini.
Ikuti perkongsian Sinar Bestari bersama pakar bimbingan dan kaunseling dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Izwan Mahmud.
Mohd Izwan menjelaskan, dalam ruang digital yang pantas dan luas, kata-kata boleh dilontarkan tanpa berfikir, gambar disebarkan dalam sekelip mata dan sindiran menjadi tular sebelum sempat dihentikan.
"Antara puncanya ialah rasa 'kebal' apabila identiti disembunyikan atau disamarkan. Kurangnya empati menyebabkan pembuli tidak merasai kesan sebenar perbuatan mereka.
"Selain itu, keinginan mendapatkan perhatian, like dan sokongan juga mendorong sebahagian murid memuat naik kandungan melampaui batas," katanya kepada Sinar Bestari.
Tanpa literasi digital dan didikan empati yang kukuh, teknologi yang sepatutnya membantu pembelajaran boleh bertukar menjadi medium tekanan dan trauma.
Jejas keyakinan diri
Buli siber mungkin tidak meninggalkan lebam pada tubuh, namun kesannya perlahan-lahan menghakis keyakinan diri.
Dalam sekelip mata, maruah seorang murid boleh menjadi bahan tontonan umum.
Apabila dihina di ruangan komen, diejek menerusi video atau maklumat peribadi disebarkan tanpa izin, mangsa bukan sekadar berasa malu, malah dirundung takut, tertekan dan terasing.
Mohd Izwan berkongsi kisah seorang pelajar yang gambarnya disunting secara memalukan dan tular di media sosial.
"Dari luar kelihatan biasa, tetapi di dalam dirinya bergelut rasa malu dan rendah diri. Pengalaman ini boleh mengubah personaliti daripada ceria menjadi pendiam, daripada berani mencuba menjadi ragu-ragu," jelasnya.
Tekanan berpanjangan bukan sahaja menjejaskan emosi, malah melemahkan motivasi belajar dan membantutkan perkembangan sosial.
Prestasi akademik boleh merosot bukan kerana tidak mampu, tetapi kerana hati yang terluka sukar memberi tumpuan.
Sokongan awal selamatkan masa depan
Buli siber sering mengubah emosi dan tingkah laku murid seperti menjadi pendiam, hilang minat ke sekolah, sukar tidur serta menjauhkan diri daripada rakan.
Tegas Mohd Izwan, itu antara petanda seseorang murid memerlukan bantuan segera.
"Kaunseling profesional bukan tanda kelemahan, sebaliknya langkah berani untuk memulihkan keyakinan diri dan belajar mengurus tekanan secara sihat.
"Dengan sokongan ibu bapa, guru dan persekitaran sekolah yang positif, murid mampu bangkit semula," katanya.
Menurut beliau, galakan menyertai kokurikulum, pujian atas usaha kecil dan latihan kemahiran mengawal emosi mampu membina semula kekuatan dalaman.
Luka digital mungkin tidak kelihatan, namun pemulihannya bermula dengan tindakan awal dan sokongan berterusan.
INFO: Tip fahami, tangani, cegah!
Punca buli siber
- Identiti tersembunyi
- Pembuli merasakan dirinya 'kebal' apabila menggunakan akaun palsu atau nama samaran.
- Kurang empati digital
- Tidak nampak reaksi wajah mangsa menyebabkan kata-kata dilontarkan tanpa memikirkan kesan emosi.
- Kejar perhatian dan like
- Keinginan untuk popular atau mendapat sokongan rakan mendorong kandungan melampaui batas.
Kesan kepada murid
- Keyakinan diri merosot
- Mangsa menjadi pendiam, rendah diri dan takut bersosial.
- Emosi terganggu
- Tekanan, keresahan dan rasa terasing semakin mendalam.
- Prestasi akademik menurun
- Sukar fokus dan hilang motivasi untuk belajar
Langkah penyelesaian
- Lapor dan dapatkan bantuan awal
- Simpan bukti dan maklumkan kepada guru, ibu bapa atau kaunselor.
- Privasi dan kawal perkongsian
- Elakkan dedah maklumat peribadi secara terbuka.
- Bina budaya empati digital
- Fikir sebelum menaip,"Adakah ini menyakitkan orang lain?"