Dalam era digital hari ini, perubahan kecil pada tingkah laku anak bukan lagi perkara remeh yang boleh dipandang sebelah mata.
Dalam diam, telefon pintar yang sebelum ini menjadi teman setia boleh bertukar menjadi sumber tekanan yang tidak terluah.
Guru Bimbingan Sekolah Kebangsaan Kampung Medan, Telok Panglima Garang, Selangor, Cikgu Khariati Mohammad Akhiyar berkata, ibu bapa perlu lebih cakna dan peka terhadap tanda-tanda awal yang mungkin menunjukkan anak sedang berdepan buli siber atau gangguan emosi.
"Anak yang dahulunya ceria mungkin tiba-tiba menjadi pemarah, pendiam atau kelihatan murung tanpa sebab yang jelas.
"Mereka mungkin boleh kurang bergaul dengan keluarga, hilang minat terhadap hobi kegemaran dan lebih gemar menyendiri.
"Ada juga yang mula mengalami gangguan tidur, kerap mengadu sakit kepala atau sakit perut, malah menunjukkan rasa gelisah dan rendah diri," katanya.
Pada masa sama, Cikgu Khariati berkongsi bahawa kegiatan buli siber itu akan menyebabkan prestasi akademik merosot secara mendadak, enggan ke sekolah atau kerap mencari alasan untuk ponteng.
Tambahnya, perubahan ketara itu dapat dilihat pada penggunaan gajet, anak mungkin menyembunyikan skrin apabila didekati, enggan berbual tentang aktiviti dalam talian atau tiba-tiba tidak mahu menggunakan telefon seperti biasa.
"Semua isyarat ini bukan sekadar perubahan fasa usia tetapi mungkin jeritan halus yang memerlukan perhatian segera.
"Kepekaan ibu bapa menjadi kunci penting agar tindakan awal dapat diambil sebelum luka digital menjadi lebih parah," katanya lagi.