Setiap kali musim peperiksaan tiba, nama Sijil Rendah Peperiksaan (SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pasti menjadi sebutan.
Namun, tidak ramai generasi hari ini benar-benar mengenali insan yang menjadi pencetus kepada sistem peperiksaan kebangsaan itu.
Beliau ialah Aminuddin Baki iaitu tokoh pendidikan yang digelar 'Bapa Pendidikan Malaysia'.
Tahukah anda, sebelum kewujudan peperiksaan tempatan, murid di Tanah Melayu perlu menduduki Cambridge School Certificate sebagai saringan utama ke universiti.
Sistem itu jelas berorientasikan penjajah dan tidak sepenuhnya mencerminkan acuan pendidikan negara yang baharu merdeka.
Pada tahun 1962, ketika berusia hanya 36 tahun, Aminuddin dilantik sebagai Pengarah Pendidikan Negara (ketika itu dikenali sebagai Penasihat Pelajaran).
Beliau menjadi anak Melayu pertama memegang jawatan tersebut termasuk Pengarah Pendidikan termuda dalam sejarah negara. Dua penyandang sebelumnya ialah wakil waris penjajah.
Tahun 1964 menjadi titik penting apabila beliau memperkenalkan peperiksaan Malaysia.
Bagi peringkat menengah rendah, diwujudkan Lower Certificate Examination (LCE) untuk aliran Inggeris dan SRP bagi aliran Melayu iaitu peperiksaan wajib untuk pelajar Tingkatan Tiga.
Sebagai menggantikan Cambridge School Certificate, beliau memperkenalkan Malaysia Certificate of Education (MCE) untuk aliran Inggeris dan SPM bagi aliran Melayu.
Peperiksaan ini menjadi sijil tertinggi persekolahan sebelum pelajar melangkah ke universiti dan setaraf Senior Cambridge ketika itu.
Bagi laluan prauniversiti pula, Aminuddin mewujudkan Higher School Certificate (HSC) dan STPM bagi mempersiapkan pelajar ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Bukan itu sahaja, beliau turut menubuhkan Lembaga Peperiksaan Malaysia bagi menyelaras dan mengawal selia semua peperiksaan persekolahan di negara ini, satu langkah penting dalam memperkukuh sistem pendidikan nasional.
Dari sudut kepimpinan pelajar, Aminuddin ialah antara pengasas Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan pernah menjadi Presiden kedua serta keempat pertubuhan itu.
Beliau aktif dalam gerakan pelajar dan masyarakat pada era penentangan Malayan Union serta perjuangan kemerdekaan negara.
Dilahirkan di Perak pada Januari 1926, jasa dan namanya terus mekar hingga hari ini, antaranya melalui Institut Aminuddin Baki yang menjadi institusi latihan kepimpinan pendidikan negara, selain sekolah dan yayasan yang menggunakan namanya.
Namun, negara kehilangan tokoh besar ini terlalu awal. Pada 24 Disember 1966, setahun selepas memperkenalkan sistem peperiksaan kebangsaan yang kekal hingga kini, beliau meninggal dunia akibat serangan jantung selepas menunaikan solat. Ketika itu, usianya baru 40 tahun.
Andai usia memanjangkan langkah perjuangannya, tidak mustahil beliau mampu menjadi Menteri Pelajaran terbaik atau antara calon kepimpinan tertinggi negara.
Sebagai pengiktirafan, pada 2015, Sultan Nazrin Shah mengurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Perak yang membawa gelaran Datuk Seri kepada beliau.
Sesungguhnya, setiap kali pelajar Malaysia melangkah masuk ke dewan peperiksaan, di situlah legasi Aminuddin Baki terus hidup membina generasi demi generasi dalam acuan pendidikan negara merdeka.