Putri Qistina rangkul No. 1 Malaysia, No. 2 dunia dalam MA1 ACCA, hafizah 30 juzuk & penerima Anugerah Huffaz Cemerlang MARA! 'Apa amalan awak, dik?' - Netizen

Iklan
Kisah Putri Qistina menjadi inspirasi buat generasi muda bahawa kejayaan bukan sekadar tentang kebijaksanaan, tetapi juga tentang istiqamah, pengorbanan dan hubungan yang kukuh dengan Ilahi.

Nama Putri Qistina Rosmadi menjadi sebutan ramai apabila dinobatkan ACCA Prize Winner selepas meraih markah cemerlang 98 peratus bagi kertas Management Information (MA1) dalam peperiksaan Disember 2025.

Menerusi kejayaan itu, pelajar Program Foundation in Accountancy (FIA), Kolej Profesional MARA Ayer Molek, Melaka muncul nombor satu di Malaysia dan nombor dua di dunia bagi kertas berkenaan, satu pencapaian yang amat membanggakan.

Iklan
Iklan

Menerusi tinjauan Sinar Bestari di media sosial, Putri Qistina yang merupakan alumni MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan bukan pelajar 'biasa-biasa'. 

Ketika menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau memperoleh keputusan cemerlang 7A+ dan aktif dalam kepimpinan pelajar, kelab huffaz, program pembangunan diri dan kesukarelawanan.

Iklan

Selain itu, penglibatan sebagai fasilitator kem solat dan jawatankuasa kelab menyerlahkan lagi keperibadiannya yang bukan sahaja cemerlang dari sudut intelektual, malah menyumbang kepada masyarakat.

Iklan

Bagaimanapun, pencapaian akademik Putri Qistina bukan satu-satunya yang mencuri perhatian netizen.

Ini kerana, dalam usia muda, beliau bergelar hafizah 30 juzuk al-Quran. Alhamdulillah.

Terbaharu, Putri Qistina diumum penerima Anugerah Huffaz Cemerlang dalam Majlis Perasmian Himpunan Gen Huffaz Teknokrat MARA 2026, bersempena sambutan 60 tahun Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada Ahad.

Pengiktirafan itu menjadi simbol kesungguhan, disiplin dan komitmen tinggi beliau dalam memelihara serta menghayati al-Quran, seiring dengan kecemerlangan akademik yang diraih di pentas global.

Dalam pada itu, warga maya meluahkan rasa kagum dan bangga dengan pencapaian luar biasa yang diraih anak muda ini.

"Apa amalan awak, dik?" tulis seorang pengguna.

"Mohon kongsi rahsia didikan ibu bapa," komen yang lain.

"Kisah Putri Qistina menjadi inspirasi buat generasi muda bahawa kejayaan bukan sekadar tentang kebijaksanaan, tetapi juga tentang istiqamah, pengorbanan dan hubungan yang kukuh dengan Ilahi," pandangan salah seorang netizen.

Semoga lahir lebih ramai generasi muda seperti Putri Qistina yang bijak dalam akademik, teguh dalam spiritual dan bersedia memimpin masa depan negara, insya-ALLAH.