Barbershop 'Trim & Trend SMK Pokok Sena' bantu pelajar tampil kemas, pupuk disiplin dan jiwa usahawan

Iklan
Penubuhan Barbershop 'Trim & Trend SMK Pokok Sena' membuktikan bahawa idea kreatif di sekolah mampu memberi impak besar kepada pembangunan pelajar.

Bagi memastikan pelajar sentiasa tampil kemas, berdisiplin dan yakin diri, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena, Kedah memperkenalkan satu inisiatif unik menerusi penubuhan barbershop khas dikenali sebagai ‘Trim & Trend SMK Pokok Sena’.

Inisiatif ini diwujudkan bagi membantu pelajar mendapatkan potongan rambut yang kemas, rapi dan mematuhi peraturan sekolah.

Iklan
Iklan

Ia diselaraskan oleh Guru Cemerlang Bahasa Melayu, Dr Abdul Ghani Jalil, yang memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan kedai gunting rambut berkenaan berjalan secara teratur, selamat dan memberi manfaat kepada warga sekolah.

Menurut beliau, bagi memastikan operasi barbershop dapat dijalankan secara konsisten dan berterusan, kadar bayaran yang berpatutan telah ditetapkan kepada pelanggan.

Iklan

"Kadar bayarannya terdiri daripada RM6 bagi seorang pelajar dan RM7 bagi guru serta warga sekolah.

"Daripada jumlah bayaran pelajar itu, RM3 akan diberikan kepada mereka yang menggunting rambut bagi setiap seorang pelanggan.

Iklan

"Baki selebihnya akan dimasukkan ke dalam Tabung Barber untuk membeli peralatan dan keperluan gunting rambut seperti mesin gunting, gunting khas, kain alas, bahan pembersihan serta penyelenggaraan peralatan," katanya kepada Sinar Bestari.

Tambah beliau lagi, pendekatan ini bukan sahaja membantu menampung kos operasi, malah memberi peluang kepada pelajar mempelajari nilai keusahawanan secara praktikal.

"Secara tidak langsung, pelajar dapat menjana pendapatan secara beretika, di samping memupuk sikap bertanggungjawab, berdikari dan menghargai hasil usaha sendiri,” jelasnya.

Cikgu Dr Abdul Ghani (kanan) memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan kedai gunting rambut berkenaan berjalan secara teratur, selamat dan memberi manfaat kepada warga sekolah.

Sementara itu, setiap pelajar yang ingin mendapatkan perkhidmatan gunting rambut perlu mengisi borang tempahan yang disediakan.

Mereka juga perlu memilih hari dan masa sesuai berdasarkan jadual operasi yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan barbershop.

Secara keseluruhannya, penubuhan Barbershop 'Trim & Trend SMK Pokok Sena' membuktikan bahawa idea kreatif di sekolah mampu memberi impak besar kepada pembangunan pelajar.