Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2025, mencerminkan peningkatan membanggakan apabila puluhan ribu murid berjaya meraih keputusan cemerlang dalam kesemua sembilan mata pelajaran.
Pencapaian ini menjadi bukti komitmen berterusan guru KAFA, ibu bapa dan murid dalam memperkukuh asas ilmu serta penghayatan Islam sejak di bangku sekolah rendah.
Ikuti perkongsian Sinar Bestari!
Perlu usaha lebih untuk cemerlang
Di sebalik kejayaan 9A yang diraikan, terselit pengorbanan dan doa seorang ayah yang memahami benar erti cabaran hidup tanpa penglihatan sempurna.
Bapa Nurul Aina Solehah, Zainuddin Mat Ali, 59, juga seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, Terengganu menyifatkan pencapaian anaknya itu sebagai anugerah ALLAH SWT yang lahir daripada usaha berlipat kali ganda seluruh keluarga.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kepada ALLAH. Kejayaan ini bukan usaha dia seorang tetapi sokongan ibunya, ustazah, pihak sekolah dan semua yang terlibat," katanya juga merupakan individu cacat penglihatan.
Kongsi Zainuddin lagi, perjalanan anak perempuannya tidak sama seperti murid lain.
"Nurul Aina Solehah hanya mempunyai tempoh kira-kira dua tahun untuk menguasai silibus UPKK, sedangkan kebiasaannya murid-murid lain mengikuti kelas KAFA selama lima tahun.
"Tetapi, kekangan masa ini bukanlah alasan untuk mengalah. Dia masuk lewat, Alhamdulillah boleh kejar dengan pantas dan cemerlang dalam semua subjek," ujarnya.
Sebagai individu yang turut berdepan kekangan penglihatan, Zainuddin amat memahami usaha tambahan yang perlu dilakukan.
"Proses pembelajaran menuntut penggunaan rakaman audio, bantuan pembaca, menyalin semula nota dan mencetak bahan ke tulisan Braille adalah cara untuk memastikan Nurul Aina Solehah benar-benar memahmi setiap topik.
"Kita kena bekerja dua atau tiga kali ganda daripada orang normal," katanya.