Enam guru dari Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah membuktikan komitmen luar biasa dalam memperkasa pendidikan teknikal apabila berjaya menerbitkan kajian ilmiah yang memberi fokus kepada penglibatan sivik pelajar melalui khidmat komuniti.
Kajian berjudul Steel Steady: Community-based Learning in TVET to Promote Civic Engagement itu diterbitkan dalam jurnal akademik International Journal of Multidisciplinary: Applied Business and Education Research pada 23 Januari lalu.
Pasukan penyelidik berkenaan terdiri daripada Cikgu Firdaus Sariman, Cikgu Nabil Fikri, Cikgu Azme Budiman, Cikgu Dr Sirhajwan Idek, Cikgu Ts Dayang Siti Khatijah dan Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang.
Menurut kenyataan media yang diemel kepada Sinar Bestari, kajian tersebut dilaksanakan melalui projek komuniti inovatif yang dinamakan Steel Steady, melibatkan pelajar dalam kerja-kerja membaik pulih kemudahan besi di komuniti setempat.
"Steel Steady merupakan projek membaik pulih jeriji pintu dan tingkap, kisi-kisi parit, pemegang tangga serta pagar yang diperbuat daripada besi.
"Semua kerja ini dikendalikan oleh pelajar yang telah menerima latihan dalam bidang teknologi kimpalan," menurut kenyataan itu.
Menariknya, projek berimpak tinggi tersebut turut menerima pengiktirafan apabila dipilih sebagai salah satu penerima geran Akademi Rakan Muda berjumlah RM15,000 pada tahun 2025 bagi memperluaskan pelaksanaannya.
Sementara itu, melalui kerja-kerja pembaikan dan naik taraf beberapa bangunan kayu di sebuah sekolah rendah di daerah Keningau, para guru turut menjalankan penyelidikan bagi menilai sejauh mana penglibatan dalam khidmat komuniti mampu meningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan pelajar.
"Hasil kajian menunjukkan pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti mampu menyemarakkan nilai kesukarelawanan, tanggungjawab sosial serta empati pelajar terhadap masyarakat.
"Inisiatif ini sekali gus membuktikan bahawa pendidikan dan kemahiran teknikal boleh digabungkan dengan aktiviti komuniti untuk melahirkan generasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bukan sahaja mahir bekerja, malah memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi," kongsinya.
Dalam pada itu, Lumang melahirkan rasa terharu dengan usaha berterusan para pendidik di kolej tersebut yang sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Menurutnya, usaha ini penting bagi membentuk pelajar yang bukan sahaja berkemahiran dan berpengetahuan, malah memiliki sahsiah terpuji.
"Inisiatif dilakukan selari dengan aspirasi pendidikan negara untuk melahirkan graduan yang berdisiplin, berkeperibadian tinggi dan mampu memberi sumbangan kepada masyarakat," katanya.
Kejayaan enam guru ini bukan sahaja membanggakan KV Keningau, malah menjadi inspirasi kepada warga pendidik lain bahawa pembelajaran yang bermakna mampu dilahirkan apabila ilmu, kemahiran dan khidmat kepada masyarakat digabungkan dalam satu pengalaman pendidikan yang holistik.