Suara guru di hari raya!

Iklan
Gambar hiasan

Selepas sebulan menahan lapar dan dahaga, hadirnya Syawal menjadi detik yang amat bermakna buat seluruh umat Islam.

Aidilfitri diraikan bukan sahaja sebagai tanda kemenangan menempuh Ramadan, malah menjadi kesempatan untuk merapatkan silaturahim serta saling bermaafan.

Iklan
Iklan

Sempena sambutan ini, Sinar Bestari mengumpulkan ucapan dan pesanan istimewa daripada guru seluruh Malaysia buat murid, ibu bapa dan warga sekolah.

*****

Iklan

1)"Sebagai seorang guru Sains, saya percaya bahawa ilmu membuka mata kita untuk memahami keajaiban dunia dan kebesaran ciptaan Tuhan.

Dalam setiap pembelajaran, kita diajar untuk berfikir, mencari makna dan menghargai setiap proses yang menjadikan kita insan yang lebih baik.

Iklan

Sempena Hari Raya Aidilfitri yang penuh keberkatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua murid, rakan guru, ibu bapa serta masyarakat khasnya Kementerian Pendidikan Malaysia.

Semoga Aidilfitri kali ini membawa sinar kebahagiaan, mengeratkan ukhuwah dan menyemarakkan semangat untuk terus menimba ilmu serta menyebarkan kebaikan." - Guru SMK Taman Mount Austin, Noorshafika Naziera Harun, 27.

Noorshafika Naziera (kiri) dan Fadhilah (kanan)

2) Dari kampung cantik bergaya,

Hendak pergi beraya di kota,

Aidilfitri disambut ceria,

Salam dihulur maaf dipinta.

Kuih banyak tak terkira,

Minuman manis sangat menduga,

Jangan leka asyik bergembira,

Tutur dan adab pastikan terjaga. - Penolong Kanan Petang, SMK Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor, Fadhilah Hanapiah, 48.

3) Guru yang membuat unggun di pulau. Angin laut membawa rindu Di dada yang sunyi.

Setahun di tanah orang menanam huruf, menanam harapan.

Pagi raya. Jalan pulang berliku.Tapi tetap menuju halaman sendiri.

Di kampung. Wajah lama menunggu. Pelita ilmu masih bersinar.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin. - Guru Disiplin SMK Air Itam, Pulau Pinang, Muhammad Ummair Affan Muhamad Salim, 27.

4)"Harap Aidilfitri kali ini dipenuhi dengan keceriaan, rahmat dan kenangan manis bersama keluarga tersayang. Jangan lupa jaga diri dan terus berusaha untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran." Guru Kanan Sains dan Matematik, SMK Kota Kemuning, Azma Azniza Azan, 49.

Muhammad Ummair Affan (kiri) dan Azma Azniza (kanan)

5)"Selamat Hari Raya Aidilfitri. Semoga Syawal yang mulia ini membawa kegembiraan, keberkatan dan mengeratkan lagi silaturahim sesama insan.

Dalam kemeriahan berhari raya, marilah kita saling bermaaf-maafan dan menikmati masa indah bersama keluarga tersayang. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin." - Guru SMK Seri Semantan, Pahang, Nur Atikah Mohamed Salleh, 26.

6)"Syawal bukan sekadar tentang pakaian baharu, juadah istimewa atau duit raya yang diterima. Lebih daripada itu, ia adalah saat untuk kita menginsafi perjalanan diri sepanjang Ramadan dan membawa nilai-nilai baik itu ke dalam kehidupan seharian.

Saya berharap anak-anak murid terus mengekalkan sikap hormat, berdisiplin dan sentiasa berusaha menjadi insan yang memberi manfaat kepada orang lain. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin." - Guru SMK Datuk Mansor, Nuramanina Hishamudin, 26.

Nur Atikah (kiri) dan Nuramanina (kanan)

7)"Jika sepanjang perkenalan dan perkongsian saya terdapat salah kata, tersilap bicara atau perbuatan yang menyinggung perasaan, saya dengan rendah hati memohon ampun dan maaf. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin." - Guru Unit Bimbingan & Kaunseling, SMK Madai, Kunak, Sabah, Jumat Mat Salleh, 37.

8)"Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh warga SMK Madai, terutama para guru yang dihormati dan pelajar-pelajar yang dikasihi. Semoga Syawal ini membawa keberkatan, kegembiraan dan mempererat silaturahim dalam keluarga besar sekolah kita." - Pengetua SMK Madai, Abdul Hussin Madjakinal, 57.

Jumat (kiri) dan Abdul Hussin (kanan)