Cuaca panas: Sekolah diminta tingkatkan kesiapsiagaan lindungi murid

Iklan

Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan melaksanakan langkah proaktif bagi menghadapi fenomena cuaca panas apabila sesi persekolahan kembali dibuka selepas Cuti Penggal 1.

Dalam kenyataan media pada Rabu, KPM menegaskan aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan murid, guru serta warga sekolah perlu diberi keutamaan sepanjang tempoh cuaca panas ini.

Iklan
Iklan

Antara langkah utama yang perlu dilaksanakan termasuk menangguhkan aktiviti luar sekiranya suhu mencecah melebihi 35 darjah Celsius serta memantau sebarang aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada risiko cuaca ekstrem.

Selain itu, pihak sekolah juga perlu memastikan bekalan air minuman bersih sentiasa mencukupi serta menggalakkan murid membawa air minuman sendiri bagi mengelakkan dehidrasi.

Iklan

KPM turut menasihati warga sekolah agar memastikan murid mengambil air dalam kuantiti mencukupi bagi membantu mengawal suhu badan, terutama ketika cuaca panas melampau.

Bagi murid yang tinggal di asrama, pihak institusi disaran menyediakan bekalan air minuman sekiranya berlaku situasi kritikal atau kekurangan sumber.

Iklan

Dalam masa sama, institusi pendidikan perlu sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berhampiran sekiranya berlaku sebarang komplikasi kesihatan melibatkan murid.

KPM turut memaklumkan bahawa kelonggaran pemakaian pakaian sukan yang sopan boleh diberikan kepada murid, guru dan kakitangan bergantung kepada keperluan serta situasi semasa di sekolah masing-masing.

Menurut kementerian itu, semua pihak perlu peka dengan keadaan cuaca setempat dan sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan sesi pembelajaran dapat berlangsung dalam keadaan selamat dan kondusif