Ibu bapa bercerai, terpaksa bekerja seawal 17 tahun antara 13 punca pelajar tak ambil SPM

Iklan
Raisin ketika mengumumkan keputusan SPM 2025 bagi negeri Sabah di SMKA Mohamad Ali, Ranau.

Perceraian ibu bapa serta desakan hidup yang memaksa pelajar bekerja bagi menyara keluarga dikenal pasti antara punca ketidakhadiran calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sabah.

Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mendedahkan, sebanyak 13 faktor dikenal pasti menyumbang kepada isu berkenaan, dengan sebahagiannya masih boleh ditangani melalui intervensi sekolah.

Iklan
Iklan

Pengarahnya, Datuk Raisin Saidin berkata, faktor berkaitan sikap pelajar antara yang boleh diperbaiki menerusi program pembangunan sahsiah.

"Sebenarnya ada banyak punca dan terdapat 13 punca kenapa murid tidak hadir. Yang boleh kita tangani ialah yang berkaitan dengan sikap, kita bantu melalui program sentuhan sahsiah.

Iklan

"Tetapi yang agak sukar ialah apabila murid terpaksa bekerja untuk menyara kehidupan atau disebabkan perceraian ibu bapa, menyebabkan anak berusia 17 tahun ini memikul tanggungjawab besar membantu keluarga," katanya dalam sidang akhbar pengumuman SPM tahun 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Mohamad Ali, di sini, pada Selasa.

Beliau mengulas masih ada isu ketidakhadiran calon SPM di negeri ini walaupun mendapat perkembangan positif dari segi penurunan angka berbanding SPM sebelumnya.

Iklan

Menurutnya, JPNS tetap berusaha membantu golongan berkenaan termasuk memastikan mereka terus berpeluang menduduki peperiksaan.

"Kita simpati dengan murid-murid ini tetapi tidak pernah berputus asa. Antara usaha kita ialah menghantar soalan peperiksaan akhir tahun kepada murid yang bekerja supaya mereka terus belajar. Akhirnya kita harap mereka hadir ke sekolah untuk menduduki SPM sekurang-kurangnya bagi mendapatkan sijil," katanya.

Selain itu, katanya, terdapat juga pelajar yang tidak hadir kerana sudah berumah tangga pada usia muda, sama ada atas pilihan keluarga atau faktor kemiskinan.

"Apabila sudah berkahwin, fokus mereka beralih kepada keluarga dan anak, tetapi itu sebenarnya bukan penghalang untuk mengambil SPM. Kita terus beri dorongan kerana pendidikan penting dalam usaha mengurangkan kemiskinan, selaras aspirasi Sabah Maju Jaya," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pengaruh rakan sebaya turut menjadi antara faktor pelajar tercicir, namun masih boleh diatasi jika mereka dapat dikesan lebih awal.

Katanya, pihak sekolah yakin mampu membantu selagi pelajar masih mahu hadir dan terus berhubung dengan guru.

Mengulas lanjut, Raisin berkata pihaknya meletakkan sasaran untuk mengurangkan jumlah ketidakhadiran calon SPM daripada tiga digit kepada dua digit bermula tahun depan.

"JPNS bersungguh-sungguh untuk memastikan pada tahun 2026 ke atas jumlah calon SPM itu dapat dikurangkan menjadi dua digit.

"Kita mahu turunkan daripada angka ratusan kepada bawah 100. Ini bukan usaha saya seorang tetapi melibatkan semua pihak termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah, ibu bapa dan murid sendiri," katanya.

Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai memandangkan masih banyak ruang penambahbaikan dalam sistem pendidikan di Sabah.

"Kita melihat data setiap tahun dan menggalakkan sekolah serta PPD membuat analisis sendiri untuk menambah baik sistem sedia ada. Tiada yang mustahil, kita yakin dengan kerjasama semua pihak, jumlah calon yang tidak hadir SPM dapat dikurangkan," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya mendedahkan seramai 699 atau 1.89 peratus pelajar tidak hadir mengambil peperiksaan SPM bagi semua mata pelajaran berbanding seramai 905 atau 2.57 peratus pelajar pada tahun 2024.

"Angka ini menunjukkan perkembangan yang positif iaitu penurunan bilangan calon yang tidak hadir seramai 206 orang," katanya.