Di sebalik kejayaan meraih 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, tersimpan kisah pengorbanan seorang anak penjual pisang goreng yang tidak pernah kenal erti lelah demi mengubah nasib keluarga.
Fakhrul Iman Zainudin, yang juga hafiz al-Quran 30 juzuk, hadir bersama ibu bapanya ke Ibu Pejabat UMNO World Trade Centre (WTC) dengan penuh harapan bukan sekadar membawa slip keputusan cemerlang tetapi impian besar untuk melanjutkan pengajian.
Anak muda itu membesar dalam kesederhanaan, menyaksikan sendiri keringat ayahnya mencari rezeki dengan menjual pisang goreng demi membesarkan keluarga.
Namun, kekangan itu tidak pernah menjadi alasan untuknya mengalah, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk berjaya.
Pertemuan mereka bersama Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membuka sinar baharu apabila Fakhrul Iman dicadangkan menyertai program khas ke Jordan dalam bidang Syariah serta Ekonomi dan Kewangan Islam.
Dalam suasana penuh mesra, beliau sempat menitipkan pesan yang cukup menyentuh hati agar Fakhrul Iman tidak melupakan pengorbanan ibu bapanya.
"Dengan ilmu sahaja yang mampu mengubah kehidupan keluarga, dengan izin ALLAH," katanya.
Malah, detik itu turut diserikan dengan gurauan apabila Fakhrul Iman diuji hafazannya secara spontan, sebelum permohonannya dipertimbangkan satu momen santai yang menggambarkan keyakinan terhadap kebolehan anak muda tersebut.
Kisah Fakhrul bukan sekadar tentang kecemerlangan akademik, tetapi tentang harapan, doa dan pengorbanan.
Dari gerai kecil menjual pisang goreng, kini langkahnya semakin hampir ke bumi Jordan, membawa bersama impian untuk mengubah masa depan keluarga dan memberi makna lebih besar kepada ilmu yang dimiliki.