"Al-Fatihah buat adikku, abangmu kelak akan menyusul nanti..."
Demikian coretan menyentuh hati yang ditulis oleh Ustaz Adzuan Hafiz Ahmed dalam satu hantaran video di akaun TikTok miliknya beberapa hari lalu.
Namun siapa menyangka, kata-kata yang dititip penuh emosi itu seolah-olah menjadi petanda pemergian beliau apabila Ustaz Adzuan Hafiz dilaporkan menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 5 petang Isnin akibat komplikasi jantung.
Pemergian Allahyarham nyata mengejutkan ramai, khususnya warga Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Medan, Telok Panglima Garang, Selangor, tempat beliau menabur bakti sebagai pendidik.
Allahyarham yang juga Guru Pembimbing TV PSS di sekolah tersebut dikenali sebagai seorang guru yang komited, kreatif dan amat disenangi warga sekolah serta anak-anak muridnya.
Minat mendalam beliau dalam bidang media dan teknologi maklumat (IT) mendorongnya mewujudkan Studio Annur, sebuah studio rakaman di sekolah bagi memberi peluang kepada murid-murid mencuba pengalaman menghasilkan kandungan siaran dan rakaman sendiri.
Usaha itu bukan sahaja membuka ruang kepada murid mengasah bakat, malah membantu mereka membina keyakinan diri serta kemahiran komunikasi.
Selain aktif dalam bidang media sekolah, Allahyarham juga mempunyai bakat seni yang luar biasa.
Dinding-dinding di sekitar SK Kampung Medan dihiasi dengan lukisan mural hasil tangan kreatifnya, sekali gus menceriakan suasana sekolah dan menjadi kenangan yang akan terus terpahat buat warga sekolah.
Dalam kalangan murid pula, beliau dikenali sebagai seorang guru yang lembut tutur kata, mudah didekati dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar.
Sifatnya yang penyayang dan ceria menjadikan beliau seorang guru yang amat disayangi oleh anak-anak murid serta rakan sekerja.
Ternyata, pemergian arwah meninggalkan kesan mendalam kepada ramai pihak yang mengenali keperibadiannya.
Kami di Sinar Bestari merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Ustaz Adzuan Hafiz atas pemergian insan tersayang ini.
Semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan segala jasa baktinya dalam dunia pendidikan menjadi amal jariah yang berpanjangan.
Al-Fatihah.