Pendakwah selebriti tanah air, PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim, terus mencuri perhatian ramai apabila menyertai Misi Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza bersama beberapa rakan pendakwah lain.
Antara yang turut serta dalam misi berkenaan ialah PU Rahmat dan Imam Muda Asyraf, yang sama-sama berganding bahu membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang sedang berdepan situasi mencabar.
Menerusi satu hantaran di Facebook pada 7 April lalu, PU Amin berkongsi luahan perasaan serta doa sebelum menyertai misi tersebut.
"Doakan dan terus doakan agar perjalanan penuh cabaran ini dipermudahkan. Gementar dan risau ada, tapi kalau dapat full support dari semua kawan-kawan, hati akan jadi tenang! Yang penting makanan dan ubat ini sampai kepada anak-anak kita di Gaza. Kita buat sama-sama okay?" tulisnya.
Latar belakang pendidikan PU Amin
PU Amin mula dikenali ramai selepas menyertai program realiti Islamik Pencetus Ummah (PU) 2015, apabila beliau berjaya meraih kedudukan keempat.
Sejak itu, PU Amin aktif sebagai pendakwah selebriti, penceramah dan pengacara yang sering tampil dengan penyampaian dakwah yang tegas dan berprinsip.
Dari segi akademik, beliau merupakan graduan Universiti Al-Azhar iaitu antara institusi pengajian Islam tertua dan paling berpengaruh di dunia Islam.
Terletak di Kaherah, Mesir, Universiti Al-Azhar ini diasaskan lebih 1,000 tahun lalu dan telah melahirkan ramai tokoh ilmuwan dan ulama terkenal dunia Islam.
Antara alumninya ialah Dr Yusuf al-Qaradawi, Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Syeikh Mutawalli al-Sha'rawi.