Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini bukan sahaja membawa kegembiraan kepada segelintir pelajar, malah turut mengundang air mata buat mereka yang merasakan diri tidak cukup berjaya.
Begitulah kisah seorang individu yang tular di media sosial selepas berkongsi keputusan peperiksaannya dengan penuh rasa kecewa.
Menerusi perkongsian tersebut, pelajar berkenaan memperoleh 4B, 2C, 4E dan 1G bagi 11 subjek yang diambil dalam SPM 2025.
Lebih menyentuh hati, bukan sekadar keputusan yang dikongsi, tetapi luahan jujur yang terbit daripada hatinya.
"Saya betul-betul gagal ke? Mak saya cakap saya tak study walhal saya sanggup bersengkang mata, tahajud dan lain-lain. Saya stres, tak ada seorang pun ambil tahu... yang mereka tahu nak marah saja. Maaf, tak dapat nak banggakan semua..."
Luahan itu jelas menggambarkan betapa berat beban emosi yang ditanggung, bukan sahaja tekanan peperiksaan, tetapi juga harapan dan persepsi orang sekeliling.
Menurut slip keputusan dikongsikan, pelajar tersebut memperoleh Bahasa Melayu (B), Bahasa Inggeris (B+), Sejarah (B), Matematik (E), Bahasa Arab (C+), Matematik Tambahan (G), Fizik (E), Kimia (E), Biologi (E), Pendidikan Al-Quran Dan Al-Sunnah (B) dan Pendidikan Syariah Islamiah (C).
Walaupun tidak mencapai keputusan cemerlang seperti yang diimpikan, hakikatnya setiap huruf pada slip itu adalah hasil usaha, pengorbanan dan doa yang tidak pernah berhenti.
Sementara itu, warga maya yang membaca luahan tersebut mengakui yang mereka cukup tersentuh dengan kejujuran pelajar berkenaan.
Rata-rata tampil memberikan kata-kata semangat, mengingatkan bahawa keputusan SPM bukan penentu mutlak masa depan.
"Awak tak pernah gagal dik, ni baru permulaan hidup awak, jalan awak masih panjang. Teruskan usaha, jangan ada niat nak mengeluh sebab mengeluh tu buat awak rasa malas. Abang doakan semoga awak terus berusaha." - Iskandar Zulkarnain.
"SPM ni keputusan je. Ingat, dunia kat luar tu pandang usaha, selagi awak masih berusaha selagi itu awak masih boleh berjaya. Jangan stop berusaha, teruskan sampai hasil yang berjaya." - Fikri Safie.
"Tak apa dik. Perjalanan awak masih lagi jauh, terjatuh sekali tak mungkn akan terjatuh lagi. Yang penting sudah usaha. Jangan stres-stres." - Ieda Aida Naida.
"SPM bukan pengakhiran, banyak lagi peluang, gali dan terus gali ruang peluang. Ini bukan kegagalan sebaliknya baru permulaan." - Nur Hanan.
Kata-kata itu mungkin nampak ringkas, tetapi bagi mereka yang berjuang dalam diam, ia cukup melegakan hati.
Hakikatnya, tidak semua usaha terus dihargai. Ada yang perlu melalui jalan sukar dan jatuh beberapa kali sebelum menemui arah hidup sebenar.