5 subjek gagal dalam percubaan, SPM sebenar raih Lulus Atas & Kepujian Tertinggi! 'Ayah bangga dengan kau Naqib biar pun tiada A'

Iklan
Cikgu Pe Chey (kiri) bersama anaknya, Naqib (tengah) (gambar kiri) selepas mengambil keputusan SPM 2025 baru-baru ini.

Hati seorang ayah mana yang tidak luluh dan sebak apabila melihat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 anak yang pada awalnya seakan mustahil untuk berubah.

Ketika peperiksaan percubaan, anaknya, Md Naqib, hanya mencatat keputusan yang cukup merisaukan, lima daripada lapan subjek gagal.

Iklan
Iklan

Namun siapa sangka, di saat ramai mungkin sudah menjangkakan sebaliknya, SPM sebenar menjadi titik perubahan yang tidak disangka-sangka.

Subjek yang sebelum ini gagal, berubah satu demi satu. Mata pelajaran Pendidikan Islam dari G kepada B+; Sejarah (G → C); Matematik (G → D); Geografi (G → D) dan Perniagaan (G → D).

Iklan

Menurut bapanya, Nor Faisal Ishak, yang juga seorang guru dan lebih dikenali di media sosial sebagai Cikgu Pe Chey, anaknya bukanlah pelajar biasa.

Di sebalik cabaran akademik, Naqib sebenarnya remaja yang berbakat dalam bidang sukan dan pernah mewakili sekolah ke kejohanan peringkat dewasa, negeri dan kebangsaan.

Iklan

"Saya pernah cakap pada dia... SPM ni kita ambil sekali seumur hidup. Buatlah sehabis baik, sampai kau puas hati dengan apa yang kau jawab," kongsinya.

Lebih menyentuh hati, beliau tidak dapat menahan sebak ketika berjumpa guru kelas anaknya untuk mengucapkan terima kasih atas segala usaha dan kesabaran mendidik Naqib.

Namun kata-kata yang ingin diluahkan sebagai permohonan maaf dan penghargaan, seakan tersekat di kerongkong.

Akhirnya, dalam penuh emosi, beliau hanya mampu menghulurkan sedikit sumbangan sebagai tanda terima kasih kepada guru Naqib.

"Cikgu, duit (not 50 dua keping) saya dah niat nak bagi, cikgu bawalah anak-anak cikgu makan nanti dan ini duit raya untuk dia orang juga..." katanya.

Sementara itu, Cikgu Pe Chey berkata, keputusan SPM sebenar Naqib adalah sesuatu yang cukup besar nilainya.

"Kali ini, tiada yang gagal. Ada yang Lulus Atas dan ada yang capai Kepujian Tertinggi. Pada saya, ini dah habis baik dia buat.

"Rahmat ALLAH itu besar buat Naqib. Entah kekuatan apa yang ALLAH beri masa dia jawab SPM. Ayah bangga dengan kau Kib biar pun kau tiada A." 

Perkongsian itu mengundang sebak dalam kalangan warga maya, yang rata-ratanya turut menitipkan doa dan kata-kata semangat buat Naqib.

"SPM hanya kunci, gunakan kunci itu untuk membuka pintu jalan yang terbaik buat anak-anak. Apa pun keputusannya, alfu mabruk dan tahniah." - Mohammad Iqbal Md Salleh.

"Qib akan jadi budak yang power one day. Trust me, lebih cemerlang dari orang lain." - Zihir.

"SPM hanya permulaan dalam meneroka dunia kehidupan, yang penting pandai bawa diri dan trus berusaha untuk majukan diri." - Chekgu Sulong.

"Cuba cari potensi dia. Bukan semua orang ditakdirkan untuk belajar jawab exam cemerlang. Tak cemerlang in paper bukan tanda akhirnya dunia. Tahniah Naqib! You did your best. Semoga berjaya dalam lapangan yang sesuai dengan jiwamu wahai anak." - Nuriman Nurdian.