Sebanyak 22 sekolah rendah dan menengah dari Melaka hadir memeriahkan Program Ceria dan Kreatif Digital bersama TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) di Karangkraf dalam suasana penuh ceria serta keterujaan.
Kehadiran murid bersama guru pengiring jelas mencerminkan semangat tinggi untuk menimba ilmu baharu di luar bilik darjah.
Program yang berlangsung baru-baru ini, membuka peluang kepada peserta menyertai bengkel interaktif yang memberi pendedahan kepada dunia penyiaran secara langsung.
Lebih menarik, pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka berpeluang melawat balai berita Sinar Harian serta studio produksi yang lengkap.
Pengalaman ini bukan sahaja membuka minda, malah mencetuskan minat serta keyakinan dalam kalangan murid-murid untuk meneroka bidang media dengan lebih mendalam.
Generasi penerbit muda Inisiatif penganjuran bengkel TV PSS ini dilihat sebagai langkah signifi kan dalam menyokong Rancangan Pendidikan Malaysia, selari Dasar Pendidikan Digital di bawah Teras Enam yang menekankan kerjasama rakan strategik berimpak tinggi.
Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi JPN Melaka, Yusri Suib berkata, program yang berlangsung ini membuka ruang pembelajaran luar bilik darjah yang segar dan bermakna.
“Pelajar bukan sekadar mendengar teori, sebaliknya diberi peluang untuk meneroka dunia sebenar penyiaran melalui lawatan ke studio lengkap serta penyertaan dalam siri bengkel interaktif ini.
“Sepanjang program, peserta didedahkan dengan pelbagai kemahiran asas penerbitan seperti teknik penggambaran, penyuntingan serta cara menjadi hos yang berkesan.
“Walaupun tempoh singkat, impaknya jelas apabila ramai pelajar menunjukkan minat, keyakinan dan kemahiran baharu yang memberangsangkan,” katanya.
Memandangkan setiap sekolah hanya menghantar dua hingga tiga wakil, Yusri mengharapkan peserta dapat berkongsi ilmu yang diperoleh di Karangkraf ini bersama rakan-rakan lain di sekolah.
“Usaha ini membuktikan bahawa dengan bimbingan dan peluang yang tepat, generasi muda mampu berkembang menjadi individu kreatif, berani dan berdaya saing.
“Diharapkan kolaborasi seumpama ini dapat diteruskan dan diperluas demi melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam industri media negara,” ujarnya lagi.