Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu, Muhammad Adam Azmi kini menjadi sebutan apabila berjaya mencipta pencapaian membanggakan menerusi program AC 151 Foundation in Accountancy (ACCA FIA) bagi sesi Mac 2026.
Bukan sekadar lulus cemerlang, Muhammad Adam membuktikan kemampuannya di pentas yang lebih besar di mana beliau muncul nombor satu di Malaysia dan nombor tiga di dunia bagi subjek Management Information (MA1).
Sebagai penerima biasiswa Skim Pelajar Cemerlang bagi ACCA FIA, kejayaan ini bukan sahaja membanggakan diri sendiri, malah mengangkat nama keluarga, institusi dan negeri.
Penulis yakin, di sebalik kejayaan cemerlang berkenaan, pastinya tersimpan pelbagai pengorbanan besar yang menjadi saksi kepada perjalanan Muhammad Adam dalam meraih kecemerlangan.
Tentunya, beliau tidak hanya bersengkang mata mengulang kaji pelajaran hingga larut malam, malah turut mengisi waktu dengan ketekunan beribadah seperti solat tahajud, memohon keberkatan dan ketenangan jiwa dalam menghadapi cabaran peperiksaan.
Semoga kejayaan anak muda ini terus menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kecemerlangan pada masa akan datang, insya-ALLAH.