Pengiktirafan tertinggi dunia kesusasteraan tanah air akhirnya menemui pemiliknya.
Tokoh sastera prolifik, Mana Sikana atau nama sebenarnya Dr Dr Abd Rahman Nafiah, diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-16.
Pengumuman yang dilakukan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek itu sekali gus mengangkat beliau sebagai Sasterawan Negara, satu gelaran yang bukan sekadar menghargai karya kreatif, tetapi turut mengiktiraf kekuatan pemikiran, nilai perjuangan serta sumbangan besar.
Menurutnya, pemilihan itu dibuat berdasarkan ketokohan beliau sebagai sasterawan yang prolifik dan konsisten menghasilkan karya kreatif yang bermutu tinggi sepanjang kerjayanya.
“Sumbangan Allahyarham yang meninggal dunia pada 26 Mei tahun lalu merangkumi pelbagai genre, termasuk cerpen, novel dan drama yang sarat dengan pemikiran kritis, nilai kemanusiaan serta kepekaan terhadap realiti sosialdalam membina tradisi ilmu dan jati diri bangsa.
"Karya beliau sering menampilkan pendekatan yang berani dan inovatif, sekali gus memperkayakan bentuk serta estetika penceritaan dalam kesusasteraan Melayu moden.
"Kesinambungan penulisan beliau dalam bidang cerpen menghasilkan ratusan karya yang memperlihatkan eksperimen naratif serta kekuatan pemikiran falsafah, antaranya dihimpunkan dalam kumpulan cerpen seperti Cinta Junjungan.
"Dalam genre novel pula, karya seperti Ronjang, Klimaks, Kesesatan dan Syajar semuanya yang dihasilkan secara intertekstual, metafiksyen dan metasejarah.
"Novel Mana Sikana ini membawa pembaharuan daripada segi struktur dan teknik penulisan genre novel di Malaysia. Dalam bidang drama, beliau banyak menulis skrip drama pentas, drama radio dan televisyen," katanya pada sidang media bagi menobatkan Anugerah Sasterawan Negara ke-16, di kementeriannya.
Sebagai rekod, Fadhlina memaklumkan Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-16 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada suatu tarikh yang akan dimaklumkan oleh Istana Negara.
Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.
Lebih menarik, individu yang dinobatkan sebagai Sasterawan Negara akan menerima warkah penghormatan negara, wang tunai RM60,000, penerbitan karya sehingga 50,000 naskhah atau nilai maksimum RM500,000 untuk diedarkan kepada sekolah, perpustakaan dan agensi kerajaan.
Ujar Fadhlina, inisiatif tersebut bagi memastikan karya tokoh terus dibaca, dihargai dan dimanfaatkan oleh masyarakat secara meluas.