Di sebalik pelbagai inisiatif membudayakan membaca buku, Perbadanan Kota Buku (PKB) muncul sebagai antara penggerak utama membina ekosistem buku inklusif dan dinamik.
Berperanan menghubungkan penerbit, penulis, pembaca dan institusi pendidikan, PKB bukan sekadar mempromosi bahan bacaan, malah mencipta ruang dan peluang untuk masyarakat mendekati ilmu dengan cara lebih menarik dan relevan.
Usaha ini selari aspirasi memperkukuh budaya membaca sebagai asas pembentukan generasi berpengetahuan.
Seiring sambutan Hari Buku Sedunia, inisiatif Jom Baca Bersama 10 Minit menjadi simbol komitmen berterusan dalam menghidupkan amalan membaca dalam kehidupan harian.
Program ini mengajak murid, guru dan seluruh warga pendidikan untuk menyelami dunia buku dan membuktikan bahawa perubahan besar boleh bermula dengan langkah kecil hanya 10 minit sehari.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, membaca itu bukan sekadar hobi sekali gus mencabar persepsi lama yang melihat buku sekadar pilihan masa lapang.
Hakikatnya, membaca buku perlu diangkat sebagai budaya, amalan harian yang menjadi asas kepada pembentukan generasi berilmu dan berdaya saing.
"Dalam landskap pendidikan hari ini, pendekatan berkenaan dilihat semakin penting apabila anak-anak perlu dibentuk dengan cara fikir yang lebih luas dan kritis.
"Membaca buku bukan lagi aktiviti sampingan, sebaliknya menjadi teras kejayaan yang perlu diterapkan sejak awal.
"Ia bukan sesuatu yang dilakukan sekali-sekala, tetapi amalan konsisten yang membentuk cara berfikir, memahami dan menilai dunia di sekeliling," katanya.
Seiring dengan itu, pelaksanaan program seperti program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) perlu diperkasakan agar tidak terhenti sebagai aktiviti rutin semata-mata.
"Program ini perlu berkembang menjadi gerakan lebih besar yang mampu mencetus impak jangka panjang dalam kehidupan pelajar.
"Usaha memperkukuh budaya membaca buku juga perlu diselaraskan dengan inisiatif berskala nasional seperti Malaysia Membaca dan konsep Kota Baca, yang menekankan pembinaan masyarakat berilmu melalui akses dan penglibatan aktif terhadap bahan bacaan," katanya lagi.
Perlu usaha dari rumah
Budaya membaca buku tidak lahir secara kebetulan, ia sepatutnya bermula dari rumah.
Dalam membentuk generasi muda yang dekat dengan buku, setiap ibu bapa perlu menjadi suri teladan paling berpengaruh dalam mencorakkan tabiat itu sejak di awal usia.
Fadhlina sekali lagi menegaskan, pembinaan ekosistem membaca perlu dipupuk dalam institusi keluarga kerana anak-anak cenderung meniru apa yang dilihat setiap hari.
Secara tidak langsung, rumah menjadi tapak asas dalam menyemai budaya ilmu yang berterusan.
"Anak-anak melihat apa yang kita baca dan mereka akan percaya dan yakin bahawa ekosistem itu wujud dari rumah dan ia mesti diteruskan dalam masyarakat.
"Apabila mereka melihat dalam rumah itu sendiri sudah ada bahan bacaan, buku, perpustakaan kecil, jadi saya sangat percaya budaya itu boleh terus diwujudkan," katanya lagi.
Tambah Fadhlina, komitmen untuk memperkukuh budaya membaca terus diperkasa melalui pelbagai inisiatif termasuk peningkatan literasi dan penguasaan pelbagai bahasa dalam kalangan pelajar.
Selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, murid juga digalakkan mempelajari bahasa lain seperti Mandarin dan Tamil bagi memperluas keupayaan komunikasi serta membuka lebih banyak akses kepada bahan bacaan.
Trivia Hari Buku Sedunia
Tarikh sambutan:
- Disambut pada 23 April setiap tahun di seluruh dunia.
Siapa yang perkenalkan?
- Diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada tahun 1995.
Matlamat:
- Menggalakkan minat membaca.
- Menghargai buku dan penulis.
- Memperkukuh literasi masyarakat.
Tahukah anda?
- Membaca buku selama 10 minit sehari boleh membantu meningkatkan kosa kata, fokus dan kemahiran berfikir kritis dalam jangka panjang.