Buku bukan sekadar bahan rujukan yang tersusun di rak perpustakaan atau menghiasi sudut rumah, ia sepatutnya diangkat sebagai nadi pembangunan negara.
Itulah aspirasi besar yang sedang digerakkan oleh Perbadanan Kota Buku (PKB) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan institusi perpustakaan dalam usaha memastikan budaya membaca terus hidup.
Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Adibah Omar berkata, melalui agenda pendemokrasian akses perbukuan, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memastikan buku sampai ke tangan semua lapisan rakyat tanpa mengira lokasi.
"Dari bandar hingga ke kawasan seperti Kinabatangan (Sabah), Jeli (Kelantan), Yan (Kedah) dan banyak lagi, anak-anak kini menikmati peluang akses bahan bacaan berkualiti.
"Usaha ini mencatat sejarah tersendiri apabila kadar capaian terhadap buku berada pada tahap tertinggi pernah direkodkan di Malaysia," katanya.
Manakan tidak, pemangkin utamanya pelaksanaan Baucar Buku Madani yang kini memasuki dua pusingan dengan kadar penebusan mencecah 100 peratus.
Menurut Adibah, sebanyak 94.5 peratus penerima bersetuju untuk terus membaca.
"Ini petunjuk jelas bahawa apabila akses dibuka, rakyat memilih untuk membaca.
"Kami percaya manifestasi Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia di peringkat global ini akan membawa makna yang sangat besar," ujarnya.