Berani bersuara, serlah bakat: 'Be Bold! Speak Up!' cungkil potensi murid

Iklan

Keberanian untuk tampil ke hadapan dan bersuara bukan sesuatu yang datang secara semula jadi, namun ia boleh dipupuk sejak usia muda.

Atas dasar itu, Sinar Bestari, platform pendidikan di bawah Sinar Harian yang memfokuskan kepada pembangunan pelajar, guru dan komuniti sekolah, tampil membawa perkongsian dalam Bengkel Pengacaraan Be Bold! Speak Up! di Sekolah Kebangsaan Abdul Samat, Kapar pada Isnin.

Iklan
Iklan

Program yang berlangsung dari jam 11 pagi hingga 12.50 tengah hari itu berjaya menghimpunkan kira-kira 100 murid berusia 11 hingga 12 tahun bersama guru pengiring.

Ia menjadi platform awal kepada murid untuk mengenali asas pengacaraan dan memahami peranan dunia media khasnya Sinar Bestari secara lebih dekat, selaras usaha memperkasa kemahiran abad ke-21 dalam kalangan pelajar.

Iklan

Editor Sinar Bestari, Nurbaya Abdul Rezak berkata, program itu bukan sahaja memberi pendedahan baharu kepada murid, malah membuka ruang untuk mereka membina keyakinan diri.

“Melalui bengkel ini, kita dapat lihat bagaimana murid-murid berani mencuba, tampil ke hadapan dan menyampaikan idea mereka. Ini merupakan langkah awal yang penting dalam membentuk kemahiran komunikasi,” katanya.

Iklan

Menurut beliau, sebagai platform pendidikan yang aktif turun padang, Sinar Bestari komited untuk terus berkongsi ilmu dan pengalaman bersama warga sekolah melalui pelbagai program berimpak.

Sementara itu, Guru Besar SK Abdul Samat, Faridzul Azwan Mohd Kamarudin turut hadir menyantuni kru Sinar Bestari sebelum program bermula. Beliau turut menyuarakan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

Sepanjang bengkel berlangsung, suasana dewan dipenuhi gelak tawa dan keterujaan apabila murid-murid aktif menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan.

Antara pengisian menarik termasuk sesi kuiz spontan, sesi pengenalan Sinar Bestari, sesi soal jawab serta perkongsian santai yang menceriakan suasana.

Turut diadakan agihan 10 kampit beras kepada pihak sekolah sebagai tanda sokongan dan penghargaan.

Program ini dianjurkan bersempena Karnival HipMax SK Abdul Samat 2026, sekali gus menambah kemeriahan acara serta memberi nilai tambah dari aspek pembelajaran dan pembangunan sahsiah murid.