Pasukan Bola Tampar SK Bongek cipta sejarah

Iklan
Kejayaan pasukan ini adalah hasil usaha berterusan pelbagai pihak termasuk jurulatih, pentadbir sekolah, guru serta sokongan ibu bapa.

Sekolah Kebangsaan (SK) Bongek, Negeri Sembilan mencipta sejarah tersendiri apabila dua skuad lelakinya berjaya mara ke perlawanan akhir Kejohanan Bola Tampar Majlis Sukan Sekolah Daerah Rembau 2026 yang berlangsung di SK Taman Seri Rembau baru-baru ini.

Kejayaan itu menyaksikan pertembungan antara SK Bongek A dan SK Bongek B dalam aksi final yang jarang berlaku, sekali gus membuktikan kekuatan pasukan dari sekolah berkenaan.

Iklan
Iklan

Dalam perlawanan akhir itu, SK Bongek A muncul juara selepas menewaskan SK Bongek B dengan keputusan 31-20, manakala pasukan B yang dianggap underdog turut mencuri tumpuan apabila berjaya melangkah sehingga ke pentas akhir.

Selain itu, satu lagi pasukan perempuan SK Bongek turut mencatat pencapaian apabila meraih tempat ketiga bersama dalam kejohanan sama.

Iklan

Secara keseluruhan, SK Bongek menghantar tiga pasukan terdiri daripada murid Tahun 4, 5 dan 6, iaitu dua pasukan lelaki dan satu pasukan perempuan atas bimbingan jurulatih, Cikgu Khairil Nizar Abu Bakar. 

Iklan

Menurut Guru Penolong Kanan Kokurikulum, Faiza Azua Abdul Rahman, kejayaan itu adalah hasil usaha berterusan pelbagai pihak termasuk jurulatih, pentadbir sekolah, guru serta sokongan ibu bapa.

"Kemenangan ini adalah usaha jurulatih yang tidak henti-henti melatih, selain kerjasama pentadbir, guru-guru dan sokongan daripada ibu bapa. Usaha murid sendiri yang sentiasa bekerjasama, mendengar arahan dan berdisiplin turut menyumbang kepada kejayaan ini," katanya.

Beliau berkata, murid-murid yang terlibat juga amat gembira dan teruja dengan pencapaian itu, malah diraikan dalam satu majlis penghargaan di Restoran Aladdin, Tampin.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pasukan SK Bongek A sebelum ini pernah muncul naib johan pada tahun lalu, manakala pasukan SK Bongek B hanya sekadar mara ke peringkat suku akhir.

Sementara itu, Guru Besar SK Bongek, Arshad Mohamad Noh berkata, kejayaan tersebut membuktikan usaha, disiplin dan semangat berpasukan mampu membawa murid ke tahap lebih tinggi.

"Saya berharap semua murid terus berusaha, tidak mudah berputus asa dan menjadikan pencapaian ini sebagai inspirasi untuk lebih cemerlang," ujarnya.