Sultan Nazrin tunai solat Jumaat bersama warga pendidik sempena Hari Guru

Iklan

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat bersama pelajar dan warga pendidik sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) di sini, pada Jumaat.

Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad dan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.

Iklan
Iklan

Bersempena sambutan Hari Guru berkenaan Jabatan Pendidikan negeri turut menganjurkan program pengimarahan di Masjid Negeri Perak melibatkan 2,000 orang pelajar dan warga pendidikan.

Majlis Bacaan Surah Yasin, Tahlil, Doa dan Khutbah Jumaat juga diadakan di masjid berkenaan bersama-sama jemaah yang hadir.

Iklan

Iklan

Sementara itu, Mohd Azam dalam ucapannya menjunjung kasih atas perkenan Sultan Nazrin memberi tauliah khatib jemputan kepada seramai 625 warga pendidik serta guru di seluruh masjid di Perak.

Beliau turut menjunjung kasih atas keberangkatan baginda menunaikan solat Jumaat bersama-sama pelajar dan warga pendidik di Masjid Negeri Perak hari ini.

"Bersempena sambutan Hari Guru tahun ini, saya ingin menyeru seluruh warga pendidik agar terus melangkah dengan semangat, dengan keyakinan yang jitu, dengan jiwa guru yang berkobar-kobar. 

"Jangan pernah merasakan bahawa tugas seorang guru itu kecil. Setiap ilmu yang disampaikan, setiap nasihat yang diungkapkan dan setiap sentuhan kasih seorang guru mampu mengubah kehidupan seorang anak dan seterusnya mengubah masa depan negara," katanya.

Menurutnya, seorang guru tidak hanya mengajar di dalam bilik darjah tetapi mereka membina keyakinan, meniup harapan dan mencorakkan masa depan negara.

Beliau juga percaya dengan keikhlasan dalam perkhidmatan dan semangat untuk terus mendidik dengan hati, warga pendidik negara akan terus menjadi tunjang utama dalam melahirkan generasi Madani yang berilmu, berakhlak mulia dan mampu membawa Malaysia ke tahap yang lebih membanggakan.