Kisah yang jarang dicerita...

Iklan

Setiap kejayaan seorang murid, pasti ada insan bergelar guru yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu dan kasih sayang.

Mereka bukan sekadar mendidik tetapi sebagai pembimbing kehidupan dan pencetus impian anak bangsa.

Iklan
Iklan

Setiap hari, para guru hadir ke sekolah dengan harapan mahu melihat murid melangkah lebih jauh.

Bagaimanapun, di sebalik senyuman itu tersimpan pelbagai pengorbanan yang jarang diketahui masyarakat.

Iklan

Ada guru yang sanggup berjauhan dengan keluarga, mengorbankan masa dan tenaga, malah menggunakan wang sendiri demi memastikan murid mendapat pendidikan terbaik.

Walau berdepan pelbagai cabaran, mereka tetap setia memikul amanah mendidik tanpa pernah mengalah.

Iklan

Sempena sambutan Hari Guru 2026 bertemakan ‘Guru Bitara Nadi Negara’, jasa dan pengorbanan warga pendidik wajar dihargai kerana merekalah denyut kekuatan yang membina masa depan negara.

Mengangkat mimpi anak petani

Lebih dua dekad, guru Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Jas, Mior Shahril Mohd Wazid, 45, menabur bakti di kawasan luar bandar.

Suasana di kawasan Selama, Perak lebih damai dengan ibu bapa murid yang bekerja sebagai petani dengan kehidupan masyarakat yang serba sederhana.

Bagaimanapun, Mior Shahril berkata, kekurangan itu bukan alasan untuk anak-anak ini berhenti bermimpi atau mempunyai impian besar.

“Cabaran terbesar sebagai pendidik adalah meyakinkan murid bahawa mereka juga boleh berjaya. Tugas kami bukan sekadar mengajar tetapi membina keyakinan dalam diri murid,” katanya.

Mior Shahril merakam foto kenangan bersama anak murid.

Manakan tidak, apabila tiba musim kejohanan sukan sekolah terutama pertandingan di peringkat daerah, Mior Shahril bersama guru lain akan keluar seawal jam 5.30 pagi untuk mengambil murid di kediaman masing-masing yang jauh di kawasan pedalaman.

“Ada murid yang tinggal jauh dari jalan utama, tidak kurang pula perlu melalui laluan kecil sebelum sampai ke rumah mereka."Agak sukar untuk semua berkumpul seawal pagi di sekolah memandangkan ibu bapa masing-masing ialah petani.

“Selepas tamat pertandingan, kami akan pastikan setiap murid dihantar pulang dengan selamat seorang demi seorang. Pernah suatu ketika, saya tiba di rumah hampir jam 11 malam,” ceritanya lagi.

Bagaimanapun, bagi Mior Shahril, rasa penat itu hilang apabila melihat keterujaan anak-anak kampung dapat merasai pengalaman bertanding dan berdiri sama tinggi dengan murid sekolah bandar.

“Untuk mendekati murid pula, saya percaya guru perlu sentiasa memahami dunia kanak-kanak yang sentiasa berubah mengikut zaman.

“Kalau murid kecil, kita guna pendekatan macam kartun Upin Ipin. Kalau yang lebih besar, kita kaitkan pembelajaran dengan filem atau lagu yang sedang tular. Bila kita masuk dunia mereka, barulah mereka seronok belajar,” katanya lagi.

Paling menyentuh hati guru Bahasa Inggeris itu adalah sokongan ibu bapa murid-murid di kampung. Menurutnya, walaupun kebanyakan mereka hidup serba kekurangan, sokongan terhadap sekolah tidak pernah putus.

“Ada ibu bapa yang tunggu anak balik latihan sampai lewat malam. Ada yang sanggup bantu apa sahaja termampu. Mereka mungkin tidak banyak duit tetapi sangat menghargai pendidikan,” ujarnya.