Jadi pendidik perlu kesabaran luar biasa

Iklan
Mohammad Aniq (kiri) berusaha untuk memberikan terbaik kepada anak muridnya.

Tidak semua tangisan murid berpunca daripada dimarahi guru atau gagal menjawab soalan.

Ada yang lahir daripada ketakutan kehilangan peluang untuk terus belajar, itulah pengalaman yang tersemat dalam hati guru Pemulihan Khas, Mohammad Aniq Amdan, 32.

Iklan
Iklan

Perjalanannya bermula tanpa dirancang kerana bidang pengkhususan ialah Matematik, namun tawaran yang diterima daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) merupakan opsyen Pemulihan Khas.

“Pada awalnya, bidang ini terasa asing tetapi saya melihat ia masih dekat dengan diri sendiri kerana Pemulihan Khas juga memberi fokus kepada dua subjek teras iaitu Bahasa Melayu dan Matematik.

Iklan

“Namun semakin lama bergelar guru Pemulihan Khas, semakin saya faham bahawa tugas mendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu di hadapan kelas.

Iklan

"Ia menuntut kesabaran luar biasa untuk membimbing murid yang masih bergelut mengenal huruf, menulis perkataan dan memahami nombor.

“Masyarakat selalu melihat kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira) sebagai perkara asas dan mudah hakikatnya, semua itu kunci utama untuk murid mengikuti pembelajaran lain,” katanya kepada Sinar Bestari.

Mohammad Aniq berkongsi kisah anak muridnya yang merupakan seorang bukan warganegara, tidak mengenali huruf dan membaca. Murid itu hadir ke sekolah tanpa dokumen lengkap, namun tetap datang dengan semangat luar biasa untuk menimba ilmu.

“Sedikit demi sedikit, dia mula menunjukkan perkembangan positif apabila sudah mampu membaca suku kata mudah.

“Sebagai seorang guru, saya bangga melihat perubahannya dan sentiasa memuji anak ini yang sudah pandai membaca tetapi, pujian berkenaan dibalas dengan air mata. Terkejut saya apabila dia menangis sambil memaklumkan akan diberhentikan sekolah oleh penjaga sekiranya sudah pandai,” luahnya sedih.

Pelajar menggunakan 'Virtual Reality' (VR) untuk aktiviti dalam kelas.

Bagi Mohammad Aniq, kata-kata murid itu meruntun jiwa sekolah guru kerana sekelip mata sahaja perasaan bangga tadi bertukar menjadi seribu persoalan.

“Sebagai pendidik, saya semestinya hendak lihat anak murid berjaya menguasai kemahiran asas supaya dapat meneruskan pembelajaran seperti murid lain.

“Pada masa sama, saya dihimpit dengan rasa kebimbangan, bagaimana jika kejayaan itu menjadi alasan untuk anak ini berhenti sekolah?” luahnya.

Mohammad Aniq mengakui pengalaman itu mengajarnya bahawa guru Pemulihan Khas bukan hanya mengajar murid membaca dan mengira, tetapi turut menyelami kehidupan, emosi dan perjuangan yang dipikul anak-anak luar bilik darjah.