Bagi Norzaidatul Akmal Abdul Basir, 28, menjadi guru di Sekolah Kebangsaan (SK) St Luke Nanga Baoh, Dalat, Sarawak bukan sekadar menyampaikan ilmu di dalam bilik darjah.
Sebaliknya, ia menuntut pengorbanan besar, kesabaran luar biasa dan jiwa yang benar-benar ikhlas untuk melihat anak-anak pedalaman memperoleh peluang pendidikan yang lebih baik.
Guru kelahiran Semporna, Sabah itu mengakui cabaran terbesar bukanlah perjalanan jauh ke sekolah sebaliknya melihat murid-muridnya berdepan kekurangan yang tidak sepatutnya menghalang mereka daripada belajar.
"Anak-anak di sini sangat kurang pendedahan kepada teknologi. Kami tiada makmal komputer dan kemudahan infrastruktur juga agak terhad.
"Kadang-kadang rasa sedih melihat mereka. Dunia bergerak begitu pantas, tetapi literasi digital mereka masih jauh ketinggalan berbanding murid di bandar," katanya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.
Disebabkan kekurangan itu, beliau berusaha mencari pelbagai kaedah supaya murid-muridnya tidak tercicir.
Dengan sistem kelas bercantum yang diamalkan di sekolah tersebut, beliau perlu menjadi lebih kreatif menggunakan segala sumber yang ada.
Daripada bahan bantu mengajar yang dihasilkan sendiri sehinggalah memanfaatkan kemudahan Wi-Fi sekolah untuk menayangkan video pembelajaran, semuanya dilakukan demi memastikan murid dapat memahami pelajaran dengan lebih baik.
"Saya juga sediakan modul mengikut tahap setiap murid dan memberi bimbingan secara individu.
"Apa sahaja yang ada, saya akan gunakan sepenuhnya supaya jurang pendidikan mereka dapat dirapatkan," katanya.
Namun cabaran seorang guru pedalaman tidak terhenti di situ.
Setiap tahun, St Luke Nanga Baoh berdepan ancaman banjir yang boleh mengganggu rutin harian warga sekolah dan asrama.
"Tahun lalu paling saya rasa ralat apabila air masuk ke kuarters hingga paras betis.
"Tahun ini pula padang sekolah sudah seperti tasik. Sebagai warden asrama, ketika banjir inilah saya paling risau kerana perlu memastikan keselamatan 17 orang anak asrama sentiasa terjaga," ujarnya.
Guna duit sendiri demi murid
Di sebalik tugas mengajar, terselit satu lagi pengorbanan yang menyentuh hati.
Melihat ada murid yang tidak mampu membeli keperluan pembelajaran membuatkan Cikgu Norzaidatul Akmal tidak sampai hati membiarkan mereka belajar tanpa kelengkapan yang mencukupi.
"Saya memang tak sampai hati tengok budak-budak ini tiada barang sekolah.
"Setiap kali ke kedai buku, saya akan beli buku latihan tambahan untuk mereka. Tahun ini sahaja saya sudah menghabiskan tiga pek kertas A4 untuk mencetak nota dan latihan murid," katanya.
Biarpun perlu mengeluarkan wang sendiri, beliau menganggap segala yang dilakukan sebagai satu bentuk sedekah dan pelaburan akhirat.
"Saya tidak pernah berkira. Selagi mampu, saya akan bantu mereka belajar dengan lebih baik," katanya yang mengajar Pendidikan Islam, Matematik, Sains dan Pendidikan Moral, selain turut memikul tanggungjawab sebagai warden asrama.
Walaupun jadual hariannya padat, Cikgu Norzaidatul Akmal mengakui anak-anak pedalaman itulah yang menjadi sumber kekuatan untuk terus bertahan.
"Mereka membesar dalam keadaan serba kekurangan di rumah panjang, tetapi sentiasa ceria dan bersemangat untuk belajar.
"Sebenarnya mereka yang banyak mengajar saya tentang kehidupan. Mereka mengajar saya supaya tidak mudah mengeluh dan sentiasa bersyukur dengan apa yang ada," jelasnya.
Impian Cikgu Norzaidatul Akmal
Ditanya impian terbesar buat sekolah pedalaman itu, beliau tidak meminta sesuatu yang mewah.
Cukuplah jika murid-muridnya dapat menikmati kemudahan asas yang lebih baik dan peluang pendidikan yang setara dengan rakan sebaya mereka di bandar.
"Saya impikan bekalan elektrik dan air yang lebih stabil supaya kehidupan harian murid tidak terganggu. Saya juga mahu mereka mendapat lebih banyak pendedahan kepada teknologi.
"Kalau boleh, saya tidak mahu status anak pedalaman menjadi penghalang untuk berjaya. Saya mahu murid-murid ini berdiri sama tinggi dengan dunia luar. Doakan mereka," katanya penuh harapan.