Keikhlasan seorang guru di pedalaman Sarawak yang sanggup menggunakan wang sendiri untuk membeli keperluan pembelajaran murid akhirnya mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis, Fadhlina berkata, pengorbanan yang ditunjukkan oleh Cikgu Zaida telah menyentuh hati ramai pihak.
"Saya sempat menghubungi Cikgu Zaida di Sekolah Kebangsaan (SK) St Luke Nanga Baoh, Dalat, Sarawak yang baharu selesai mengajar bersama anak muridnya.
"Alhamdulillah, dengan kerjasama Yayasan Guru Tun Hussein Onn, sejumlah RM5,000 dihadiahkan kepada SK St Luke Nanga Baoh bagi menyokong pembelian peralatan pengajaran para guru di sekolah ini.
"Selamat Hari Guru buat Cikgu Zaida dan semua guru. Guru Bitara Nadi Negara," tulisnya.
Terdahulu, Sinar Bestari melaporkan kisah pengorbanan Cikgu Zaida atau nama penuhnya, Cikgu Norzaidatul Akmal Abdul Basir yang sanggup berbelanja menggunakan wang sendiri demi memastikan murid-muridnya memiliki kelengkapan pembelajaran yang mencukupi.
Bukan sekadar membeli barangan sekolah, beliau turut berusaha mencari pelbagai pendekatan kreatif bagi memastikan murid di kawasan pedalaman tidak tercicir dalam pelajaran dan terus bersemangat menuntut ilmu.
Dalam masa sama, keselamatan anak-anak didiknya juga sentiasa menjadi keutamaan guru muda ini.
Sebagai warden asrama, Cikgu Norzaidatul Akmal mengakui sentiasa berwaspada terutama ketika musim hujan kerana bimbang berlakunya banjir yang boleh mengancam keselamatan murid.
"Pengalaman berdepan situasi air naik sehingga memasuki kawasan kuarters guru pada paras betis menjadikan saya lebih peka dan sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.