JPN Kedah siasat kes buli di sekolah

Iklan
Abdul Rahim berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan memberi jaminan siasatan telus serta terperinci akan dilakukan bagi memastikan keadilan mangsa.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan kejadian buli di sebuah sekolah di negeri ini seperti yang dilaporkan media. 

Pengarah JPN Kedah, Abdul Rahim Mat berkata, pihaknya memandang serius dakwaan itu dan memberi jaminan siasatan telus serta terperinci akan dilakukan bagi memastikan keadilan mangsa.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, tindakan disiplin yang tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.

"Semua institusi pendidikan di bawah kelolaan JPN Kedah diingatkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan bagi membanteras salah laku buli. Jika berlaku kejadian buli, ia perlu ditangani dengan segera berdasarkan garis panduan ditetapkan," katanya dalam kenyataan. 

Iklan

Sebelum ini media melaporkan seorang murid lelaki berusia sembilan tahun didakwa menjadi mangsa buli dalam tiga kejadian berasingan di sebuah sekolah rendah di Kubang Pasu.

Ibu mangsa mendakwa kejadian membabitkan tiga murid berbeza itu berlaku pada 17 Mei 2025 serta 26 Mac dan 17 Mei lepas hingga menyebabkan anaknya mengalami retak tulang tangan selain lebam pada pipi dan mata.

Iklan

Suri rumah itu mendakwa kejadian berulang itu menyebabkan anaknya trauma dan takut untuk ke sekolah dan dia telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, sebelum mengambil keputusan memindahkan anaknya ke sekolah lain. - Bernama