Kamera bukan lagi sekadar alat merakam gambar, sebaliknya menjadi medium pendidikan yang membantu pelajar membina keyakinan diri, kreativiti dan kemahiran komunikasi.
Itulah antara pengisian menarik menerusi Bengkel Fotografi dan Videografi Sinar Bestari yang berjaya memberi impak positif kepada pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor.
Menurut Guru Penolong Kanan Pentadbiran sekolah, Norbaini Mohd Jamil, program itu membuka peluang kepada pelajar untuk mempelajari asas penghasilan video, fotografi dan teknik kewartawanan secara praktikal.
“Hasilnya dapat dilihat dalam masa singkat apabila pelajar berjaya menghasilkan video sendiri dan memperoleh sedikit ilmu untuk menjadi wartawan. Sebenarnya, ini satu perkembangan yang sangat baik,” katanya kepada Sinar Bestari.
Ujarnya lagi, bengkel ini bukan sahaja memberi pendedahan baharu kepada pelajar, malah membantu mencungkil bakat terpendam dalam bidang media dan penyiaran.
"Kemahiran yang dipelajari akan dimanfaatkan untuk memperkasa TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) dan penghasilan Majalah Suria melalui penyediaan laporan, rakaman video serta liputan program sekolah," katanya.
Ujar Norbaini, sambutan pelajar terhadap program ini amat menggalakkan dan wajar diteruskan bagi menambah lagi ilmu serta pengalaman mereka dalam dunia media digital.
"Respon pelajar sangat baik dan saya berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang," ujarnya.