Dalam era pembelajaran digital yang semakin berkembang, media sosial bukan lagi sekadar medium hiburan.
Ia ruang penting untuk murid mendapatkan maklumat, berkomunikasi dan mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
Bagaimanapun, kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak di alam maya mendorong kerajaan mengambil langkah lebih tegas apabila bakal melaksanakan sekatan akses akaun media sosial bagi individu bawah 16 tahun bermula hujung Jun ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bagi memperkukuhkan perlindungan dalam talian dengan penggunaan mekanisme pengesahan umur yang lebih selaras dan selamat.
Dalam konteks pendidikan moden yang banyak bergantung kepada internet, pandangan guru dilihat penting bagi menilai keseimbangan antara keselamatan digital dan keperluan pembelajaran generasi muda.
Bukan sekat tetapi selamatkan murid
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak Indah, Kuala Lumpur, Nur Shazana Ahmad Bzayauddin berkata, cabaran terbesar pendidik hari ini bukan semata-mata menyelesaikan silibus, sebaliknya berdepan tempoh tumpuan murid yang semakin singkat akibat terlalu terdedah kepada kandungan media sosial.
Menurutnya, murid kini terbiasa dengan video pendek dan hiburan pantas dunia maya sehingga sukar memberi fokus dalam kelas untuk tempoh yang lama.
"Bila masuk kelas, mereka cepat bosan, gelisah dan fikiran sentiasa tertumpu kepada trend viral atau notifikasi telefon.
"Sekatan ini sekurang-kurangnya bantu reboot fokus mereka kepada dunia realiti dan akademik," katanya kepada Sinar Bestari.
Nur Shazana melihat inisiatif itu mampu mengurangkan kes buli siber dan budaya keyboard warrior dalam kalangan remaja yang memberi kesan kepada emosi murid.
Tambahnya lagi, terdapat murid yang sanggup berjaga hingga awal pagi semata-mata melayan siaran langsung dan video di media sosial sebelum tidur dalam kelas keesokan harinya.
"Pada usia bawah 16 tahun, emosi mereka belum cukup matang untuk mengendalikan tekanan dan budaya toksik online.
"Sekatan ini bukan mahu menyekat kebebasan tetapi satu bentuk perlindungan supaya murid dapat membesar secara lebih sihat dan seimbang," ujarnya.
Fokus emosi pelajar
Di sebalik keseronokan dunia digital, semakin ramai mula mempersoalkan bahawa remaja bawah 16 tahun benar-benar bersedia mengendalikan kebebasan media sosial tanpa kawalan atau sebaliknya.
Platform seperti TikTok, Instagram dan YouTube menjadi sebahagian daripada rutin harian remaja.
Bagi Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok, Kedah, Mohd Nizam Saidin, pendedahan berlebihan terhadap kandungan dalam talian tanpa tapisan, budaya toksik dan tekanan dunia maya mampu menjejaskan emosi, pemikiran serta perkembangan sahsiah generasi muda.
"Pada masa sama, kebanyakan remaja lebih cenderung menghabiskan masa melayan kandungan hiburan berbanding memanfaatkan teknologi untuk tujuan ilmu dan pembangunan diri.
"Media sosial sepatutnya menjadi alat pembangunan diri, bukannya punca kerosakan emosi generasi muda," jelasnya.
REAKSI
1)"Dalam konteks pembelajaran, media sosial boleh dimanfaatkan sebagai medium perkongsian ilmu, dan komunikasi pendidikan.
"Namun, pelajar bawah 16 tahun masih memerlukan bimbingan bagi aspek kematangan emosi, kawalan diri, keselamatan digital, etika komunikasi dan penilaian terhadap kandungan.
"Larangan ini memastikan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab." - Guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, Munera Hashim, 43.
2)"Akses media sosial bagi pelajar bawah 16 tahun wajar dikawal, bukan kerana saya menolak teknologi tetapi anak-anak pada usia ini masih memerlukan bimbingan emosi, pemikiran kritis, keselamatan digital dan adab berkomunikasi.
"Tanpa kawalan, ia boleh mendedahkan mereka kepada risiko buli siber, ketagihan skrin, kandungan tidak sesuai, penyalahgunaan maklumat dan tekanan sosial." - Guru SRA Integrasi Bandar Baru Kuala Selangor, Selangor, Norjulizan Jalaludin, 38.
3)"Umur 16 tahun ini, fasa peralihan remaja dari menengah rendah ke menengah atas. Mereka peroleh banyak pendedahan negatif dan positif melalui media sosial. Kita perlu akui, anak yang terdedah dengan teknologi pada umur berkenaan, pengetahuan mereka lebih advanced daripada ibu bapa sendiri, jadi kawalan daripada ibu bapa memang sangat diperlukan." - Guru SMK Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor, Radhiah Rahim, 43.
4)"Sebagai guru dan ibu bapa, jika akaun media sosial itu untuk pembelajaran, kita boleh bertindak sebagai pemantau atau perlu punyai akses kepada akaun itu. Ia lebih praktikal dan sesuai berbanding larangan penuh kerana dunia pendidikan semakin bergantung kepada teknologi dan komunikasi digital. Kita tidak perlu melarang tetapi kawal penggunaannya." - Guru SMK Kota Kemuning, Normariam Ismail, 44.