Sempena sambutan Hari Guru baru-baru ini, kami ingin merakam sebuah kisah kecil daripada keluarga kami. Kisah tentang dua insan biasa yang tidak pernah mengecap pendidikan tinggi, namun berjaya melahirkan sebuah keluarga besar pendidik.
Emak kami tidak pernah bersekolah dan tidak tahu membaca. Arwah ayah pula hanya sempat belajar sehingga Darjah Tiga. Namun keterbatasan itu tidak pernah menghalang mereka untuk menghormati ilmu. Malah, merekalah 'guru sebenar' dalam hidup kami.
Mereka mendidik bukan melalui teori dan buku, tetapi melalui pengorbanan, disiplin dan kasih sayang yang tidak pernah berbelah bahagi. Mereka percaya bahawa pendidikan ialah jalan keluar daripada kesusahan hidup dan keyakinan itulah yang diwariskan kepada anak-anak.
Kami membesar di sebuah kampung sekitar hujung era 1960-an hingga 1980-an, zaman yang penuh kekurangan dan cabaran. Kemiskinan bukan sesuatu yang luar biasa ketika itu. Hujan, panas, jalan becak dan perjalanan jauh ke sekolah menjadi rutin harian.
Arwah ayah menghantar anak-anak ke sekolah menaiki motosikal seadanya. Kadangkala kakak membonceng kami dengan basikal kargo lama. Berjalan kaki lebih 10 kilometer ke sekolah juga perkara biasa. Ketika bersekolah menengah, ada masanya kami menaiki bas dan menyambung perjalanan dengan berjalan kaki demi menuntut ilmu.
Namun dalam segala kesukaran itu, satu perkara yang tidak pernah berubah ialah ketegasan emak dan arwah ayah terhadap pendidikan. Sekolah bukan pilihan, tetapi kewajipan. Tidak hadir tanpa sebab bukan budaya dalam keluarga kami.
Arwah ayah juga tidak pernah culas hadir pada hari mengambil kad laporan persekolahan. Dalam diam, mereka sedang mengajar kami tentang tanggungjawab, disiplin dan harapan untuk masa depan yang lebih baik.
Daripada rumah kampung lahir sebuah keluarga pendidik
Hari ini, daripada 10 adik-beradik kami, enam orang memilih bidang pendidikan sebagai kerjaya dan perjuangan hidup.
Dua orang sebagai pensyarah universiti. Kakak nombor dua bersara sebagai guru penolong kanan. Kakak keenam kini seorang pengetua sekolah. Abang pula menjadi guru besar. Adik bongsu juga seorang guru sekolah rendah.
Kami menjadi guru bukan sekadar kerana pekerjaan, tetapi kerana dibesarkan oleh dua insan yang percaya bahawa ilmu mampu mengubah nasib keluarga.
Walaupun emak dan ayah tidak memiliki sijil dan kelulusan tinggi, mereka mempunyai pandangan jauh tentang masa depan anak-anak.
Mereka mungkin tidak mampu mengajar matematik atau menulis karangan, tetapi mereka mengajar kami erti ketabahan, usaha dan amanah. Walau hanya bertemankan pelita minyak tanah, waktu malam kami adalah untuk menyiapkan kerja sekolah.
Kini, pada usia emak mencecah 86 tahun, Siti Aminah Dikon dapat menyaksikan pula empat orang cucunya menyambung legasi sebagai guru. Insya-ALLAH, akan lahir lagi generasi pendidik daripada keluarga besar kami.
Sesungguhnya, bangunan sekolah mungkin tempat kami belajar membaca dan menulis, tetapi rumah kecil di kampung itulah universiti pertama kehidupan kami. Dan dua insan itulah guru paling berjasa yang membentuk siapa kami hari ini.
Guru sekolah rendah: Membentuk jiwa kanak-kanak
Di sebalik tenangnya seorang guru sekolah rendah, tersimpan amanah yang besar. Guru bukan sekadar mengajar ABC di dalam kelas, tetapi menjadi idola pertama dalam kehidupan seorang kanak-kanak.
Daripada cara berjalan, tutur kata dan pesanan seorang guru, semuanya menjadi contoh dan pegangan murid. Di sebalik tangisan, gurauan dan kemesraan anak-anak kecil itu tersimpan cita-cita besar untuk menjadi seperti guru yang mereka kagumi.
Apabila kami terbentuk dengan sikap orang tua yang berdisplin namun penuh dengan kasih sayang, kami menjadikan sekolah sebagai keluarga besar kami.
Sebagai pengetua, guru besar, guru mahupun pensyarah, kami menonjolkan watak figura emak dan ayah untuk menjadikan murid-murid atau pelajar lebih mesra guru namun dengan menjaga adab yang baik.
"Emak dan ayah adalah kekuatan saya" - Cikgu Mohd Azeman Sailin
Mengimbau perjalanan sebagai pendidik, Cikgu Mohd Azeman Sailin, 55, mengakui perjalanan hidupnya bermula daripada sokongan ibu dan ayah.
"Dengan dorongan dan sokongan berterusan daripada emak dan ayah, saya melangkah menyambung pengajian hingga ke peringkat ijazah dan sarjana walaupun pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi," katanya.
Kini beliau berkhidmat sebagai pentadbir di sebuah sekolah rendah di Pontian, Johor.
"Setiap keputusan, kepimpinan dan kejayaan yang saya capai hari ini sebenarnya cerminan didikan emak dan ayah. Kesabaran emak, ketegasan ayah serta kasih sayang mereka membentuk saya menjadi insan yang mampu memikul amanah dengan penuh tanggungjawab.
"Segala jasa dan pengorbanan mereka tidak akan mampu saya balas sepenuhnya, tetapi akan sentiasa menjadi inspirasi untuk saya terus melangkah lebih jauh," tambah beliau.
Cabaran guru dan ibu bapa zaman digital
Bagi Cikgu Suriati Sailin, 57, yang kini bergelar pengetua sekolah dan ibu kepada enam orang anak, cabaran pendidikan hari ini jauh berbeza berbanding zaman dahulu.
"Jika dahulu cabarannya ialah kekangan material dan kemiskinan, hari ini ibu bapa berdepan ledakan teknologi dan media sosial yang memerlukan kesabaran serta kebijaksanaan tinggi dalam membentuk jati diri anak-anak," katanya.
Menurut beliau, didikan emak dan ayah yang berteraskan disiplin serta kasih sayang menjadi kompas utama dalam mengemudi institusi pendidikan yang dipimpinnya.
Tambah beliau lagi, menjadi pengetua pada era hari ini bukan sekadar mengurus akademik, tetapi juga mendepani generasi Z yang lebih kritis serta ekspektasi masyarakat yang semakin kompleks.
"Mengimbangi antara ketegasan peraturan dan empati terhadap kesihatan mental murid memerlukan jiwa yang kental, sama seperti ketabahan emak dan ayah membesarkan kami dahulu," ujarnya.
Ketegasan guru itu sebenarnya kasih sayang
Bagi Cikgu Ruziatul Adibah Sailin, 40, yang kini bertugas di sebuah sekolah rendah di Pulau Pinang, pengalaman menjadi guru membuatkan beliau semakin memahami pengorbanan pendidik terdahulu.
"Dulu kami takut kepada guru yang garang, yang memulas telinga kerana tidak hafal sifir atau merotan tangan kerana tidak menyiapkan kerja sekolah. Namun apabila saya sendiri menjadi guru, saya faham semua itu dilakukan kerana tanggungjawab, bukan kebencian," katanya.
Menurut beliau, pendekatan pendidikan hari ini mungkin lebih lembut dan berhikmah mengikut peredaran zaman, namun tujuan seorang guru tetap sama iaitu untuk mendidik, membimbing dan memanusiakan manusia.
Dari kampung ke universiti
Berbeza pula cabaran di dunia pendidikan tinggi yang memerlukan pendekatan lebih matang dan berstrategik dalam membimbing generasi muda.
Rahmahtunnisah Sailin, 51, pensyarah Komunikasi dan Media di Universiti Islam Selangor (UIS), percaya bahawa ilmu perlu dikuasai untuk diaplikasikan dalam kehidupan dan kerjaya.
"Menekuni ilmu adalah satu tanggungjawab kerana melalui ilmu, nilai peradaban dibentuk dalam masyarakat.
"Saya mungkin lebih tegas kerana dipengaruhi sifat arwah ayah yang tidak suka perkara penting dibuat sambil lewa. Semua perkara perlu disegerakan dan dilakukan bersungguh-sungguh," katanya.
Sementara itu, Profesor Madya Dr Siti Nazuar Sailin (49), yang pada awalnya bercita-cita menjadi pakar teknologi maklumat akhirnya memilih bidang pendidikan dan kini berkhidmat sebagai pensyarah Teknologi Pendidikan di Universiti Utara Malaysia (UUM)
"Dunia pendidikan hari ini sangat berubah, daripada kapur dan papan hitam kepada kecerdasan buatan (AI), pembelajaran digital dan teknologi masa depan.
"Namun di sebalik semua perubahan itu, satu perkara tetap sama; seorang pendidik tetap mendidik dengan hati," katanya.
Menurut beliau, segala yang dilakukan hari ini sama ada mengajar, melatih guru, membimbing pelajar atau berkongsi inovasi pendidikan, semuanya berakar daripada didikan sederhana emak dan arwah ayah yang percaya bahawa ilmu mampu mengubah kehidupan.
Guru pertama tetap emak dan ayah
Selamat Hari Guru buat semua pendidik.
Kerana di sebalik seorang guru di sekolah, sering ada seorang emak dan ayah di rumah yang terlebih dahulu mengajar tentang erti ilmu, pengorbanan dan masa depan.
Benarlah kata Imam al-Syafi‘i:
"Jika kamu tidak sanggup menahan lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan."
Dan sesungguhnya, guru pertama dalam hidup setiap anak tetap bernama emak dan ayah.
Penulis: Keluarga Sailin