Aktiviti hiking kini semakin popular dalam kalangan pelajar terutama ketika musim cuti sekolah.
Selain menjadi aktiviti sihat, hiking juga memberi peluang kepada pelajar menikmati keindahan alam semula jadi bersama rakan-rakan.
Namun begitu, kebelakangan ini negara sering dikejutkan dengan kes kehilangan pendaki ketika melakukan aktiviti mendaki di hutan dan bukit.
Situasi ini membuktikan bahawa aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan walaupun sekadar melakukan pendakian santai.
Hari ini, Sinar Bestari senaraikan 10 tip penting yang perlu dipatuhi pelajar sebelum melakukan aktiviti hiking:
1) Pilih lokasi yang sesuai
- Elakkan memilih laluan terlalu sukar atau berbahaya terutama bagi mereka yang baru pertama kali mencuba aktiviti hiking.
2) Jangan mendaki seorang diri
- Pastikan mendaki bersama kumpulan atau individu berpengalaman bagi mengelakkan risiko sesat dan kecemasan.
3) Maklumkan kepada keluarga
- Beritahu lokasi pendakian serta waktu pulang kepada ibu bapa atau ahli keluarga sebelum keluar.
4) Pastikan telefon bimbit dicas penuh
- Telefon sangat penting ketika kecemasan berlaku. Sebaiknya bawa juga powerbank sebagai persediaan.
5) Bawa air dan makanan secukupnya
- Tubuh memerlukan tenaga yang mencukupi sepanjang pendakian bagi mengelakkan keletihan melampau.
6) Pakai pakaian dan kasut sesuai
- Gunakan kasut yang mempunyai cengkaman kuat serta pakaian yang selesa untuk bergerak.
7) Elakkan mendaki ketika cuaca buruk
- Hujan lebat boleh menyebabkan laluan licin dan berbahaya selain meningkatkan risiko kepala air.
8) Jangan terlalu mengejar content media sosial
- Utamakan keselamatan berbanding mahu mendapatkan gambar atau video menarik di lokasi berbahaya.
9) Kenali laluan pendakian
- Sebelum mendaki, pastikan mengetahui laluan masuk dan keluar bagi mengelakkan tersesat.
10) Jaga alam sekitar
- Jangan buang sampah merata-rata dan hormati alam semula jadi sepanjang aktiviti dijalankan.
Kesimpulannya, hiking memang menyeronokkan dan memberi banyak manfaat kepada pelajar.
Namun, sikap berhati-hati dan persediaan awal amat penting supaya aktiviti tersebut menjadi kenangan indah, bukannya tragedi yang menyedihkan.