Komitmen, kesungguhan dan kecintaan terhadap dunia pendidikan akhirnya membuahkan hasil apabila Mohamed Hanafi Wahab, 46, dinobatkan sebagai penerima tempat pertama Anugerah Guru Ikon - Guru Seni Persembahan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-55 Tahun 2026 baru-baru ini.
Pengiktirafan berprestij itu menjadi penghargaan terhadap dedikasi beliau yang tidak pernah jemu mendidik murid sepanjang perkhidmatannya.
Bagi Cikgu Hanafi, anugerah tersebut bukanlah kejayaan yang diraih secara bersendirian.
Sebaliknya, ia merupakan hasil sokongan ramai pihak yang sentiasa berada di belakangnya sejak hari pertama bergelar pendidik.
"Saya amat bersyukur atas pengiktirafan ini. Sesungguhnya kejayaan ini milik semua yang sentiasa menyokong dan mendoakan saya selama ini.
"Doa daripada ayah, ibu, isteri, anak-anak serta adik-beradik menjadi antara kekuatan terbesar yang membantu saya terus bersemangat dalam menjalankan amanah sebagai seorang guru," katanya yang merupakan guru Muzik di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Medan, Telok Panglima Garang, Selangor.
Seterusnya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah yang sentiasa memberi kepercayaan dan ruang untuknya terus berkembang dalam kerjaya pendidikan.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada guru besar, barisan pentadbir, rakan-rakan guru dan anak-anak didik SK Kampung Medan yang sentiasa memberikan kerjasama serta sokongan.
"Tanpa mereka, saya mungkin tidak berada pada tahap ini hari ini," ujarnya yang turut mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) dan Sains.
INFO
Anugerah dan pencapaian Cikgu Hanafi
1) Anugerah Ikon Guru Seni Persembahan Kebangsaan 2026
2) Anugerah Ikon Guru Negeri
3) Anugerah Guru Cemerlang Kokurikulum
4) Anugerah Jasa Bakti
5) Anugerah Guru Berprestasi Tinggi
6) Anugerah Kualiti Guru
7) Anugerah Jurulatih Kebitaraan
8) Anugerah Koreografi Terbaik