Usaha memperkasa pendidikan kini tidak lagi terhad di bilik darjah, sebaliknya ia berkembang kepada pendekatan yang memberi impak langsung kepada masyarakat.
Guru Bahasa Inggeris Kolej Vokasional (KV) Keningau, Dr Sirhajwan Idek berkata, pendidikan sebenar berlaku apabila ilmu dipelajari mampu diterjemahkan kepada manfaat kepada komuniti.
Menurutnya, pendekatan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah membantu pembangunan sahsiah pelajar termasuk penglibatan sivik, kecerdasan emosi dan daya tahan diri.
Beliau turut menjelaskan bahawa inspirasi utamanya datang daripada ibu, Bintek Abdul Rahman, yang aktif dalam kerja kebajikan di Kota Belud, Sabah.
“Nilai membantu masyarakat yang saya lihat sejak kecil banyak membentuk diri saya. Saya terapkan kepada pelajar supaya mereka sedar bahawa ilmu perlu dimanfaatkan untuk orang lain,” katanya.
Atas komitmen tersebut, beliau telah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama Educational System Management Leadership (ESML) Leadership Award 2026 bagi kategori pendidikan vokasional anjuran Chulalongkorn University, Bangkok, Thailand.
Anugerah berprestij itu disampaikan sendiri oleh Menteri Pendidikan Thailand, Prasert Jantararuangtong dalam satu majlis sempena persidangan pendidikan antarabangsa di Fakulti Pendidikan universiti tersebut.
Kejayaan ini sekali gus meletakkan Sirhajwan sebaris tokoh pendidikan vokasional yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa hasil pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti di KV Keningau.
Dalam pertandingan tersebut, hanya lima finalis disenarai pendek bagi kategori pendidikan vokasional.
Anugerah ESML turut merangkumi kategori pendidikan awal kanak-kanak dan sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah antarabangsa serta eksekutif pendidikan.
Lain daripada lain
Keistimewaan pendekatan Sirhajwan, 39, terletak pada keupayaan menghubungkan pembelajaran dengan keperluan sebenar masyarakat melalui empat pendekatan utama iaitu khidmat langsung, khidmat tidak langsung, advokasi dan penyelidikan berasaskan komuniti.
Melalui kaedah ini, pelajar bukan sahaja memperoleh kemahiran teknikal dalam bidang masing-masing, malah berpeluang menyumbang secara terus kepada masyarakat setempat.
Hasilnya, pelbagai projek khidmat masyarakat telah berjaya dilaksanakan sehingga mendapat pengiktirafan daripada organisasi seperti Impact Malaysia, CHANGE, Arus Academy, My Starfi sh Foundation dan Digital Promise.
Antara kejayaan membanggakan termasuk pasukan Teknologi Kimpalan KV Keningau yang memperoleh geran RM15,000 daripada Impact Malaysia bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan sebuah sekolah rendah pada tahun 2025.
Selain itu, pelajar daripada program Bakeri dan Pastri, Pengurusan Perniagaan, Teknologi Elektrik, Kosmetologi serta Teknologi Pembinaan turut terlibat dalam pelbagai inisiatif seperti kempen literasi kewangan, penyelidikan bersama petani, perkhidmatan di rumah orang tua, kerja pembaikan elektrik serta baik pulih rumah usang.
Kesemua projek ini dilaksanakan dengan sokongan geran antara RM2,000 hingga RM10,000 sekali gus membuktikan pendidikan vokasional mampu menjadi pemangkin perubahan sosial yang signifi kan.
Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang menyifatkan kejayaan tersebut sebagai pengiktirafan besar yang membanggakan institusi serta memberi inspirasi kepada warga kolej.
“Kejayaan ini membuktikan pendidikan vokasional mampu melahirkan graduan yang bukan sahaja berkemahiran, tetapi juga mempunyai nilai kepimpinan dan keprihatinan sosial,” ujarnya.