Bagi kebanyakan pelajar, menamatkan pengajian di universiti sudah cukup membanggakan.
Namun bagi Muhammad Izzahan Isman, perjalanan yang dilaluinya jauh lebih bermakna apabila beliau bukan sahaja berjaya menggenggam ijazah di Amerika Syarikat, malah turut mengharumkan nama Malaysia menerusi pelbagai pencapaian akademik dan kepimpinan.
Kisah kejayaan anak muda itu telah diketengahkan menerusi program MARA Trailblazer - Graduation Series di Facebook MARA USA menampilkan graduan yang berjaya mencipta kecemerlangan sepanjang pengajian di luar negara.
Menurut info tersebut, Izzahan merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di bawah Young Talent Development Programme (YTP).
Apa yang menjadikan kisahnya lebih menarik, beliau merupakan bekas pelajar tahfiz dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Rawang, Selangor.
"Berbekalkan asas pendidikan agama yang kukuh serta semangat untuk terus menimba ilmu, beliau melangkah ke Amerika Syarikat bagi merealisasikan impiannya.
"Sepanjang pengajian di Michigan State University, Izzahan berjaya mengekalkan keputusan akademik yang membanggakan dengan CGPA 3.72.
"Malah, kecemerlangan tersebut membolehkannya menerima beberapa pengiktirafan berprestij termasuk Spartan Difference Award - Initiative; Green Cranium Award - Problem Solving (Honorary Recipient) dan ROTC Academic Ribbons bagi pencapaian akademik melebihi 3.5,” kongsi hantaran itu.
Namun, kejayaan Izzahan tidak hanya terhad di dalam dewan kuliah.
Beliau turut aktif membangunkan potensi diri melalui pelbagai aktiviti kokurikulum dan kepimpinan yang mencabar.
Antaranya ialah penyertaan dalam Army Reserve Officers' Training Corps (ROTC) Cadet, sebuah program yang memberi pendedahan kepada aspek disiplin, kepimpinan dan pengurusan pasukan.
Kesungguhan yang dipamerkan membolehkan beliau menerima pengiktirafan rasmi daripada Professor of Military Science, Lieutenant Colonel (LTC) Sisoura atas profesionalisme dan perkembangan kepimpinan yang ditunjukkan sepanjang program tersebut.
INFO
- Terlibat sebagai penganalisis ekonomi dalam College Fed Challenge.
- Menyertai Personal Investment Club dan berkhidmat sebagai Public Relations Officer bagi Malaysian Student Organization.
- Dengan gabungan ilmu ekonomi, latihan ketenteraan, kepimpinan organisasi dan asas tarbiyah sebagai seorang tahfiz, Izzahan kini bersedia kembali ke Malaysia untuk menyumbang kepada pembangunan negara.