Beban tugas guru: ‘Kami dengar suara cikgu’, kata Fadhlina

Iklan

Di sebalik tanggungjawab mendidik anak bangsa, ramai guru mengakui mereka turut berdepan pelbagai tugasan sampingan yang kadangkala menuntut masa dan tenaga di luar bilik darjah.

Isu beban tugas guru bukanlah perkara baharu. Malah, ia sering menjadi topik perbincangan dalam kalangan warga pendidik yang berharap dapat memberi lebih tumpuan kepada perkara paling utama iaitu proses pengajaran dan pembelajaran murid.

Iklan
Iklan

Menyedari hakikat itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa mengambil serius setiap pandangan dan keluhan yang disuarakan oleh guru.

Menurut beliau, pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi mengurangkan beban tugas warga pendidik supaya mereka dapat menjalankan tanggungjawab dengan lebih fokus dan berkesan.

Iklan

Antara inisiatif yang diperkenalkan termasuk pemansuhan aktiviti yang kurang memberi impak, pengurangan keperluan semakan tertentu, pemberian fleksibiliti dalam pengurusan rekod kehadiran murid serta pelantikan pengawas peperiksaan awam daripada kalangan orang awam.

Menerusi satu hantaran di media sosial, Fadhlina berkata, suara guru sentiasa menjadi pertimbangan utama dalam usaha menambah baik sistem pendidikan negara.

Iklan

"Segala pandangan dan suara guru sentiasa diambil kira dalam merangka penambahbaikan sistem pendidikan negara.

"KPM akan terus meneliti cadangan yang dikemukakan serta memperkukuh langkah sedia ada bagi memastikan beban tugas guru dapat dikurangkan secara berkesan," katanya.

Bagi ramai guru, pengurangan tugasan bukan sekadar soal keselesaan bekerja, tetapi memberi ruang untuk mereka lebih fokus kepada pembangunan akademik dan sahsiah murid.

Dalam dunia pendidikan yang semakin mencabar, guru bukan sahaja berperanan sebagai penyampai ilmu, malah menjadi pembimbing, motivator dan individu yang membantu membentuk masa depan generasi muda.

Justeru, usaha mengurangkan beban tugas guru dilihat sebagai langkah penting dalam memastikan kesejahteraan warga pendidik terus terpelihara.

Fadhlina turut menegaskan bahawa usaha memperkasakan profesion keguruan memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak agar guru dapat melaksanakan amanah mendidik dalam suasana kerja yang lebih kondusif dan sejahtera.

Pada masa sama, KPM kekal komited meneruskan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada guru, sekali gus memperkukuh kualiti pendidikan negara demi masa depan anak-anak Malaysia.