Bermula sekadar hobi, siapa sangka dunia penulisan akhirnya menjadi sumber rezeki buat penulis novel, Khairul Annuar Kamaruddin.
Sebelum tahun 2020, Khairul Annuar yang menggunakan A. Darwisy sebagai nama penanya menulis secara sambilan kerana mempunyai kerjaya tetap.
Bagaimanapun, minat mendalam terhadap dunia penulisan mendorongnya melangkah lebih jauh sehingga memilih untuk menjadi penulis novel sepenuh masa.
“Perjalanan menjadikan penulisan sebagai kerjaya tetap bukanlah sesuatu yang mudah kerana perlukan masa, kesabaran dan usaha berterusan untuk membina nama serta mendapatkan kepercayaan pembaca,” katanya.
A. Darwisy mengakui pernah melakukan pelbagai kesilapan ketika mula menulis, terutama dalam membina watak, mengolah ayat dan menyusun jalan cerita yang menarik.
Namun, setiap kesilapan dianggap sebagai proses pembelajaran yang mematangkan dirinya sebagai penulis.