Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan MISC Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan bakat bumiputera dalam industri maritim menerusi kerjasama strategik yang merangkumi penajaan pendidikan, pembangunan bakat, latihan industri dan peluang pekerjaan.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, menerusi MoU tersebut, kedua-dua pihak akan melaksanakan beberapa inisiatif utama bagi menyediakan laluan pendidikan dan kerjaya yang lebih komprehensif kepada pelajar dan graduan MARA.
Menurutnya, antara inisiatif utama ialah pelaksanaan MARA Education Sponsorship Hybrid Programme (MESH-MISC) yang menawarkan penajaan bersama kepada 50 pelajar lepasan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dalam jurusan Diploma Pengajian Nautika, Diploma Kejuruteraan Marin dan Diploma Teknologi Elektro Marin.
"Program ini turut menyediakan peluang kerjaya bersama MISC Berhad selepas tamat pengajian bagi memastikan kesinambungan pembangunan bakat dalam industri maritim negara.
"Selain itu, Program MARA-MISC Edu Bridge yang diperkenalkan sebagai inisiatif Sekolah Angkat Maritim akan memberi pendedahan awal kepada pelajar MRSM mengenai peluang kerjaya dalam industri maritim
"Ia akan melibatkan lima MRSM terpilih iaitu MRSM Bentong, MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Terendak, MRSM Alor Gajah dan MRSM Muar menerusi pelbagai aktiviti pembangunan bakat termasuk program STEM berasaskan maritim, lawatan industri serta sesi perkongsian bersama profesional industri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran MARA Education Sponsorship Hybrid Programme (MESH-MISC) dan pelancaran Program MARA-MISC Edu Bridge di Akademi Laut Malaysia (ALAM) pada Isnin.
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MISC Berhad, Zahid Osman.
Ujarnya, kerjasama bersama industri merupakan antara teras utama MARA dalam memastikan pembangunan modal insan Bumiputera sentiasa selari dengan keperluan semasa dan masa hadapan.
Jelasnya, pendekatan pendidikan yang digandingkan secara langsung dengan industri membolehkan MARA membangunkan bakat secara lebih tersusun bermula daripada pendedahan awal, pendidikan, latihan sehingga penempatan pekerjaan
"Bidang maritim merupakan antara sektor strategik yang memerlukan lebih ramai tenaga pakar dan kerjasama seperti ini akan menjadi pemangkin kepada usaha tersebut.
"Ini merupakan kerjasama strategik yang penting dan bermakna buat pelajar MRSM kerana mereka akan didedahkan lebih awal mengenai bidang maritim ketika masih berada di bangku sekolah," katanya.
Tambah beliau, kerjasama strategik antara MARA dan MISC Berhad dijangka menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan lebih ramai profesional maritim Bumiputera yang berdaya saing serta bersedia memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.
"Hari ini sebagai permulaan, MARA dan MISC menaja seramai 50 pelajar dan kita berharap jumlah itu dapat ditingkatkan pada masa hadapan.
"Paling utama, kita mahu memastikan pelajar yang dibiayai memperoleh kemahiran yang relevan dengan kehendak industri serta mempunyai jaminan kerjaya dan pekerjaan selepas tamat pengajian," katanya.
Sementara itu, Zahid berkata, kerjasama dengan MARA membolehkan MISC membangunkan bakat maritim secara menyeluruh bermula dari peringkat sekolah, penajaan pendidikan sehingga kepada peluang kerjaya dalam industri.
"Sebagai peneraju industri maritim negara, kami komited membantu melahirkan lebih ramai profesional maritim Bumiputera yang berkemahiran tinggi bagi menyokong pembangunan ekonomi negara dan meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global," katanya.