Guru al-Quran berbakti lebih 70 tahun dinobat Tokoh Maal Hijrah Terengganu

Iklan
Jusoh ketika menerima anugerah disampaikan Ahmad Samsuri sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri 1448H/2026M di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu pada Rabu.

Dedikasi lebih tujuh dekad dalam menyebarkan ilmu al-Quran kepada masyarakat melayakkan Jusoh Ismail, 95, dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Terengganu.

​Anugerah itu disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri 1448H/2026M yang berlangsung di Wisma Darul Iman pada Rabu.

Iklan
Iklan

​Bapa kepada lima anak, 26 cucu dan 17 cicit itu berkata, beliau mula terlibat dalam bidang pendidikan agama sejak berusia 22 tahun dan sehingga kini masih aktif mengajar al-Quran secara talaqqi sama ada di rumah mahupun melalui telefon.

"Saya bersyukur dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah. Segala usaha yang dilakukan selama ini hanyalah untuk menyebarkan ilmu al-Quran dan mendidik masyarakat agar lebih dekat dengan kitab suci ini.

Iklan

"Al-Quran perlu dipelajari dengan berguru kerana ia mempunyai kaedah dan disiplin tersendiri terutama dalam bacaan serta tajwid," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan tersebut.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Azmi Md Daham dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Iklan

​​Berkongsi lanjut, Jusoh berkata, penglibatannya dalam bidang al-Quran merangkumi pelbagai peranan termasuk sebagai tenaga pengajar, penceramah dan penganjur kursus tajwid kepada guru agama di seluruh negara.

​Malah, beliau juga pernah berkhidmat sebagai hakim Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat kebangsaan selama 22 tahun bermula 1997 hingga 2007.

​Beliau yang kini menjawat jawatan Syeikhul Qurra’ ketiga Persatuan Qurra Terengganu sejak 2004 turut meneruskan legasi kepimpinan al-Quran negeri yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Mat Lintar.

​Mengulas mengenai faktor yang membolehkannya terus aktif pada usia lanjut, beliau berkata, amalan membaca al-Quran secara konsisten membantu menguatkan daya ingatan serta memelihara kesihatan rohani.

"Banyak membaca al-Quran, insya-ALLAH ingatan akan dipelihara ALLAH. Al-Quran adalah panduan hidup yang sempurna untuk dunia dan akhirat.

"Jadi buat kita terutama generasi muda amat perlu mempelajari dan menghayati kitab suci itu sebagai bekalan kehidupan," katanya.

​Sementara itu, dalam majlis sama, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, 62, diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Dakwah Maal Hijrah dan membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta sijil penghargaan.

​Beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang sentiasa memberi ruang dan peluang untuknya menyampaikan dakwah kepada masyarakat khususnya di Terengganu.

Selain itu, beliau turut mengingatkan generasi muda supaya lebih bijak membuat pilihan dalam mendepani perkembangan arus teknologi hari ini.

"Kepada golongan muda, saya ingin nasihatkan supaya memanfaatkan media sosial secara berhemah serta tidak menyalahgunakan platform tersebut dengan perkara yang tidak baik," katanya.