Bekas murid kembali menabur bakti melalui persatuan alumni

Iklan
Dengan sokongan dan komitmen semua ahli, persatuan ini berpotensi menjadi pemangkin kepada kecemerlangan sekolah serta kesejahteraan komuniti pada masa hadapan.

Penubuhan persatuan alumni di sesebuah sekolah merupakan langkah penting yang mampu membawa pelbagai manfaat kepada sekolah, bekas murid dan komuniti setempat.

Menerusi platform ini, bekas murid dapat terus berhubung, berkongsi pengalaman dan menyumbang semula kepada sekolah yang pernah menjadi tempat mereka menimba ilmu.

Iklan
Iklan

Terbaharu, Persatuan Alumni Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu, Besut, Terengganu berjaya melaksanakan Mesyuarat Agung Kali Pertama pada 13 Jun lalu.

Menurut kenyataan media yang dikirimkan kepada Sinar Bestari, seramai 92 ahli hadir bagi menjayakan mesyuarat tersebut sekali gus menandakan permulaan yang positif buat persatuan berkenaan.

Iklan

"Penubuhan Persatuan Alumni SK Kampung Baharu dilihat mampu memberikan pelbagai manfaat. Antaranya ialah mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan bekas murid daripada pelbagai generasi.

Iklan

"Melalui program, perjumpaan dan aktiviti yang dianjurkan, hubungan yang mungkin terputus selepas tamat persekolahan dapat disambung semula dan diperkukuhkan.

"Selain itu, alumni juga boleh menjadi sumber sokongan kepada sekolah. Mereka berpeluang menyumbang kepakaran, idea, tenaga, penajaan serta bantuan kewangan bagi membantu menjayakan pelbagai program dan aktiviti sekolah," maklum kenyataan itu.

Seterusnya, persatuan tersebut turut berperanan dalam membantu pembangunan sahsiah dan meningkatkan motivasi murid. Bekas murid yang berjaya dalam pelbagai bidang boleh dijemput untuk berkongsi pengalaman, memberi inspirasi dan membimbing murid agar lebih bersemangat mencapai kejayaan.

"Persatuan alumni juga boleh menjadi jambatan yang menghubungkan sekolah dengan ibu bapa, pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan sektor swasta.

"Di samping itu, alumni berpeluang menubuhkan tabung kebajikan bagi membantu murid yang memerlukan, bekas guru atau ahli alumni yang ditimpa musibah," kongsinya lagi.

Akhir sekali, penubuhan Persatuan Alumni SK Kampung Baharu bukan sekadar menghimpunkan bekas murid, malah menjadi wadah untuk memperkukuh silaturahim, menyumbang kepada pembangunan sekolah, menjaga kebajikan warga sekolah serta memelihara legasi institusi pendidikan.

Dengan sokongan dan komitmen semua ahli, persatuan ini berpotensi menjadi pemangkin kepada kecemerlangan sekolah serta kesejahteraan komuniti pada masa hadapan.

INFO

Organisasi Persatuan Alumni SK Kampung Baharu

  • Pengerusi: Mohamad Saipuddin Abas
  • Timbalan Pengerusi: Mohd Khairuzzaman Abas
  • Naib Pengerusi 1: Abd Halim Omar
  • Naib Pengerusi 2: Cg Mohd Zainuddin Ab Majid
  • Naib Pengerusi 3: Ustaz Razali Zakaria
  • Bendahari: Roslan Ismail
  • Penolong Bendahari: Che Hashim Ahmad
  • Setiausaha:Wan Ahmad Fadhil Wan Muda
  • Penolong Setiausaha: Nor Azmani Jusoh