Ancaman senyap bahasa asing

Iklan
Gambar hiasan. Gambar kecil Daing Zairi dan Fazilah

79 peratus karangan mengandungi bahasa campuran, 42 peratus murid mengaku guna dalam penulisan

Senario penggunaan bahasa asing seperti bahasa Indonesia dalam kalangan murid bukan lagi sekadar trend di media sosial, sebaliknya ia meresap ke dalam penulisan akademik.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri Masyarakat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Daing Zairi Ma’arof berkata, walaupun data statistik berskala besar terhad, beberapa kajian empirikal menunjukkan keadaan berkenaan berada pada tahap membimbangkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, analisis terhadap karangan pelajar mendapati sejumlah 55 daripada 70 karangan iaitu 79 peratus mengandungi percampuran bahasa.

“Lagi membimbangkan, ada kajian mendapati 42 peratus responden mengaku kerap menggunakan bahasa rojak dalam komunikasi bertulis, manakala sebanyak 92 peratus menggunakannya dalam pertuturan harian.

Iklan

“Dapatan ini membuktikan pengaruh bahasa asing tidak lagi terhad kepada perbualan santai, malah mula menular ke dalam bentuk penulisan yang lebih formal dalam kalangan murid sekolah,” katanya kepada Sinar Bestari.

Tegas Daing Zairi, perubahan yang kelihatan kecil itulah sebenarnya menyimpan persoalan besar tentang masa depan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda.

Iklan

Katanya lagi sekiranya fenomena penggunaan perkataan asing khususnya bahasa Indonesia tidak dibendung, ia berisiko sebagai punca kemerosotan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda.

“Kemerosotan bahasa bukan sekadar melibatkan perubahan kosa kata tetapi memberi kesan kepada jati diri dan rasa bangga terhadap bahasa ibunda sendiri.

“Realitinya, ramai remaja hari ini membesar dalam dunia digital yang dipenuhi pelbagai bentuk hiburan dari negara jiran seperti YouTube, sinetron, TikTok dan Instagram.

“Setiap hari, mereka terdedah kepada bahasa yang santai, ekspresif dan mudah melekat dalam ingatan. Jadi, sedikit demi sedikit, perkataan seperti kaget, banget dan enggak menjadi sebahagian daripada perbualan harian mereka,” ujarnya.

Lebih membimbangkan, generasi muda mula menganggap penggunaan bahasa asing lebih moden dan menarik berbanding bahasa Melayu.

Menurut Daing Zairi, murid-murid mampu meniru gaya pertuturan pencipta kandungan kegemaran demi menyesuaikan diri dengan komuniti dalam talian dan ikut trend semasa.

“Jika keadaan ini terus dibiarkan, kita bukan sahaja berdepan risiko kehilangan keindahan bahasa Melayu, malah melahirkan generasi yang semakin jauh daripada akar bahasa dan identiti bangsanya sendiri,” katanya.

Isu besar

Fenomena penggunaan bahasa asing dan bahasa tidak standard dalam kalangan murid hari ini tidak boleh lagi dilihat sebagai sekadar trend media sosial yang datang atau pergi.

Sebaliknya, ia merupakan isu yang lebih besar kerana bahasa yang digunakan secara berulang akan membentuk kebiasaan, seterusnya mempengaruhi cara generasi muda berfi kir dan berkomunikasi.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Fazilah Razali berkata, murid hari ini membesar dalam persekitaran digital yang menyaksikan media sosial bukan lagi sekadar platform hiburan, malah menjadi ruang pembelajaran tidak formal.

“Apa yang mereka dengar, baca dan tonton setiap hari sedikit demi sedikit membentuk pilihan bahasa mereka.

“Tidak hairanlah apabila perkataan atau gaya bahasa yang tular di media sosial akhirnya terbawa-bawa ke dalam bilik darjah, tugasan sekolah, penulisan karangan dan pertuturan rasmi,” katanya.

Bukan itu sahaja, ujar Fazilah lagi, fenomena ini mencerminkan krisis literasi nilai dalam kalangan generasi muda.

“Dalam dunia digital, sesuatu yang tular sering diterima dan ditiru tanpa tapisan serta pertimbangan yang mendalam.

“Keadaan ini menunjukkan kelemahan pemikiran kritis apabila murid lebih cenderung mengikut trend berbanding menilai kesannya terhadap bahasa dan identiti diri,” katanya lagi.

Hakikatnya, trend mungkin bersifat sementara, namun kesannya terhadap pembentukan identiti, empati dan tanggungjawab sosial boleh berpanjangan.

Reaksi pelajar

Reaksi

"Bahasa Indonesia sebenarnya mudah untuk kami fahami sebab lebih kurang bahasa Melayu. Untuk diri saya sendiri, ia tidak sampai terpengaruh sehingga membawa kepada dalam pembelajaran dan percakapan di sekolah atau rumah. Dalam kelas pun setakat ini, kawan-kawan sangat kurang menggunakan perkataan atau loghat daripada bahasa Indonesia walaupun dalam media sosial banyak konten menggunakannya." - Wan Ziyad Harraz, 14.

"Bahasa Indonesia senang juga nak faham sebab saya selalu tengok dalam TikTok. Setakat ini, belum pernah guna perkataan bahasa Indonesia dalam karangan atau esei di sekolah." - Raina Faqiha Mohd Fazli, 12.

"Faham bahasa Indonesia sikit-sikit sebab kadangkadang tertengok konten Indonesia di YouTube. Pernah juga keliru dengan perkataan bahasa Indonesia dengan Melayu. Kalau cikgu nampak biasanya dia akan tegur tapi tidaklah sampai terguna perkataan Indonesia dalam karangan.” - Muhamaad Aisy Harraz Muhamad Hafiezi, 11.