Apa yang dituturkan, itulah yang ditulis. Hakikat itu semakin jelas dalam kalangan murid hari ini apabila perkataan yang sering digunakan dalam perbualan harian, termasuk bahasa asing dan bahasa rojak, mula meresap ke dalam penulisan mereka.
Guru di Kolej Tingkatan Enam Hutchings, Nur Syuhadaa Bukhari berkata, murid cenderung menulis berdasarkan apa yang difahami dan biasa didengar, bukannya mengikut hukum atau peraturan bahasa Melayu yang sebenar.
Katanya lagi, keadaan itu akhirnya melahirkan penulisan yang tidak berstruktur dan menyimpang daripada konteks makna yang sepatutnya.
“Penggunaan kosa kata yang tidak tepat boleh menjejaskan penguasaan bahasa Melayu dari aspek tatabahasa, sama ada melibatkan pembentukan kata atau morfologi, mahupun pembinaan ayat yang gramatis dari sudut sintaksis.
“Sedikit demi sedikit, murid mula menganggap bentuk bahasa yang tidak standard sebagai sesuatu yang biasa dan boleh diterima dalam penulisan.
“Jika keadaan ini dibiarkan, mereka bukan sahaja berdepan kesukaran menghasilkan karangan yang baik, malah berisiko kehilangan keupayaan menguasai bahasa Melayu standard dengan betul,” ujarnya.
Tambah Nur Syuhadaa, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi ia merupakan cerminan ilmu dan pemikiran.
“Apabila bahasa yang ditulis semakin jauh daripada peraturan yang sebenar, ia memberi isyarat bahawa penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda sedang berdepan cabaran yang perlu diberi perhatian serius,” tegasnya.
70 peratus murid guna bahasa asing
Penggunaan perkataan Indonesia dalam kalangan murid dilihat semakin menjadi kebiasaan, khususnya dalam pertuturan harian di sekolah.
Guru Akademik Sekolah Kebangsaan (SK) Jenjarom, Nor Syahirah Nor Afandi berkongsi pengalamannya bahawa kira-kira 60 peratus hingga 70 peratus murid kerap menyelitkan perkataan asing seperti gak, banget dan kaget dalam perbualan seharian.
“Bahasa yang digunakan ini bukan dialek Sabah walaupun kebanyakkan murid sini berasal daripada negeri di bawah bayu, sebaliknya dipengaruhi bahasa Indonesia yang semakin dengan dengan kehidupan pelajar.
“Penggunaan perkataan ini telah dinormalisasikan sehingga menjadi tabiat harian mereka. Situasi kini menunjukkan pengaruh bahasa asing semakin kuat dan mula membentuk cara generasi muda berkomunikasi,” katanya lagi.
Kosa kata terhad
Penggunaan bahasa asing dan bahasa rojak secara berlebihan bukan sahaja mengubah cara murid bertutur, malah memberi kesan besar terhadap penguasaan bahasa Melayu mereka.
Menurut Nor Syahirah, keadaan itu menyebabkan kosa kata murid semakin terhad dan mereka sukar mencari perkataan standard serta tepat ketika menulis karangan.
“Akibatnya, murid tidak mampu mengembangkan idea dengan baik dan cenderung menghasilkan ayat yang terlalu mudah serta berulang.
“Mereka juga berdepan kesukaran membina ayat yang lebih kompleks dan gramatis, sekali gus menjejaskan kualiti penulisan serta pencapaian dalam peperiksaan. “Karangan yang dihasilkan akhirnya menjadi tidak tersusun dan ada yang menyimpang daripada maksud sebenar,” ujarnya.
Apabila pilihan perkataan semakin terbatas, murid sukar menghuraikan isi dengan mendalam dan penulisan mereka kelihatan hambar serta kurang bernilai.