Agong kurnia biasiswa kepada 14 penerima cemerlang

Iklan
Sultan Ibrahim berkenan bergambar kenangan bersama penerima BYDPA 2026 pada Majlis Penganugerahan BYDPA di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2026 kepada 14 penerima cemerlang pada Majlis Penganugerahan BYDPA di Istana Negara di sini.

Seri Paduka Baginda berkenan menyampaikan biasiswa berkenaan kepada tujuh penerima di peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan tujuh penerima di peringkat Sarjana (Penyelidikan).

Iklan
Iklan

Daripada jumlah itu, empat penerima akan melanjutkan pengajian di universiti terkemuka luar negara manakala 10 lagi meneruskan pengajian di universiti penyelidikan tempatan.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Iklan

Wan Ahmad Dahlan yang ditemui pemberita selepas majlis itu berkata, BYDPA merupakan biasiswa sangat berprestij di negara ini dan pembiayaannya adalah tertinggi dalam kalangan biasiswa ditawarkan kerajaan.

Beliau berkata, 13 daripada 14 penerima hadir pada majlis itu manakala seorang lagi, Waywen Loh Chang Yuan, tidak hadir kerana sudah berada di University of Oxford, United Kingdom (UK).

Iklan

"Kita berharap pelajar-pelajar tajaan ini apabila kembali nanti akan berkhidmat untuk negara mengikut bidang masing-masing, yang kebanyakannya melibatkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sains dan kecerdasan buatan (AI).

"Kita akan sentiasa memantau perkembangan mereka di universiti masing-masing supaya apa yang dirancang, khususnya dari segi tempoh pengajian dapat diselesaikan dalam masa yang ditetapkan," katanya.

Penerima biasiswa PhD terdiri daripada Afiefah Zulkifli yang melanjutkan pengajian dalam bidang Pemakanan di Universiti Putra Malaysia (UPM); Aiman Zakwan Azman (Farmakologi dan Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)); dan Chua Hui Qi (Matematik dan Statistik, UPM).

Turut menerima biasiswa PhD ialah Giroon Ijod (Pemakanan, UPM); Haimon Franklin (Biologi, UKM); Lee Yu Shi (Catalysis, Universiti Malaya) dan Waywen Loh (Immunology, University of Oxford).

Penerima biasiswa bagi peringkat Sarjana (Penyelidikan) pula ialah Amirul Haziq Azwan (Biologi, University College London, UK); Chan Ler Yie (Farmakologi dan Farmasi, University College London); dan Chris Ee Jia Wen (Genetic and Heredity, Universiti Sains Malaysia).

Turut menerima biasiswa berkenaan ialah Lim Fang (Biokimia, UKM); Mohamad Izuwansah Ishak (Persekitaran, UPM); Muhammad Zulhusni Che Razali (Persekitaran, Imperial College London, UK); dan Putri Najihah Athirah Zamrifana (Sains Veterinar, UPM).

BYDPA atau King's Scholarship merupakan biasiswa paling berprestij di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam yang diperkenalkan pada 2006 bagi menaja warganegara Malaysia yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik, malah aktif dalam aktiviti kokurikulum, kemasyarakatan serta penghasilan karya berunsurkan kreativiti dan inovasi.

Sejak diperkenalkan, BYDPA telah menaja 239 individu melibatkan 124 penerima di peringkat PhD dan 115 di peringkat Sarjana (Penyelidikan) dalam pelbagai bidang strategik dan kritikal negara termasuk STEM, ekonomi, undang-undang, kewangan Islam serta AI.

Sementara itu, penerima BYDPA, Chua dari Johor Bahru yang melanjutkan pengajian PhD tahun pertama dalam bidang Matematik dan Statistik di UPM berkata, penganugerahan itu merupakan amanah dan tanggungjawab besar untuk belajar bersungguh-sungguh serta berkhidmat kepada negara.

Beliau berkata, penyelidikannya berkaitan isu banjir di Malaysia dengan menggunakan kaedah statistik dan data sedia ada daripada Jabatan Pengairan dan Saliran bagi membantu kerajaan serta agensi berkaitan merangka projek tebatan banjir.

"Saya berhasrat untuk menjadi penyelidik dan pensyarah pada masa akan datang. Saya juga ingin menggalakkan rakan-rakan yang berhasrat melanjutkan pengajian supaya mencuba untuk memohon biasiswa ini," katanya.

Seorang lagi penerima, Muhammad Zulhusni yang juga Jurutera Daerah Dungun berkata, penganugerahan BYDPA itu merupakan amanah besar untuk membantu negara dalam pengurusan berkaitan banjir.

"Saya akan buat yang terbaik dan menggalas amanah sedaya upaya saya demi negara Malaysia yang tercinta insya-ALLAH," katanya. - Bernama