Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat mencipta sejarah apabila muncul sekolah pertama di Kelantan yang memiliki bilik darjah berasaskan kecerdasan buatan (AI-Powered Classroom), sekali gus meletakkan negeri ini dalam landskap pendidikan digital negara.
Pengetuanya, Ab Raisham Ab Rashid berkata, sekolah itu turut dipilih sebagai satu daripada 27 sekolah rintis di seluruh negara bagi melaksanakan inisiatif AI-Powered Classroom di bawah Dasar Pendidikan Digital Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut beliau, SMKA Naim Lilbanat merupakan satu-satunya sekolah di Kelantan yang terpilih menyertai projek perintis tersebut berdasarkan kecemerlangan sekolah serta kesediaan teknologi digital yang dimiliki.
"Pemilihan ini membuka ruang kepada guru dan pelajar untuk meneroka kaedah pembelajaran baharu berasaskan kecerdasan buatan yang mampu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran (PdP).
"Ia juga membuktikan bahawa sekolah di Kelantan mampu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi pendidikan global," katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian AI-Powered Classroom SMKA Naim Lilbanat yang disempurnakan Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), KPM, Aniza Kamarulzaman.
Ab Raisham memberitahu, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha KPM memperkukuhkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan dalam pendidikan menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai pihak industri.
Katanya, rakan strategik yang terlibat termasuk Samsung, SNS Network, Sasbadi, Yayasan Didik Negara, Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO), Micro Concept Tech Sdn Bhd, alumni SMKA Naim Lilbanat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu.
"Mereka memainkan peranan penting dalam menyediakan peranti, sistem pembelajaran, platform AI dan latihan kepada guru serta murid bagi memastikan pelaksanaan inisiatif ini berjalan lancar," katanya.
Menurut beliau, sesi perkongsian yang melibatkan guru dan pelajar di AI-Powered Classroom turut memberi gambaran jelas bagaimana generasi muda Kelantan mula menguasai teknologi kecerdasan buatan dalam proses pembelajaran harian.
Dalam perkembangan sama, kata beliau, dimaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menyasarkan peluasan AI-Powered Classroom ke 20 lagi sekolah di negeri ini pada fasa seterusnya.
Katanya, pemilihan sekolah akan dibuat berdasarkan tahap kesediaan guru dan fasiliti sedia ada bagi memastikan hasrat Dasar Pendidikan Digital KPM untuk memperluaskan akses pendidikan berasaskan kecerdasan buatan dapat direalisasikan secara menyeluruh.