Penebusan Baucar Buku MADANI 2026 dijangka bermula pada Julai depan menerusi kaedah digital, sekali gus memudahkan lebih dua juta pelajar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapatkan bahan bacaan secara lebih cekap dan telus.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, inisiatif tersebut melibatkan pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam, pelajar matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru (IPG), dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM210 juta.
Menurut beliau, proses penebusan akan dilaksanakan secara dalam talian menerusi platform yang dikendalikan oleh Perbadanan Kota Buku bagi memastikan pelaksanaan yang lebih telus serta mengelakkan sebarang bentuk penyalahgunaan baucar.
“Melalui kaedah ini, kita dapat memastikan ketelusan pembelian pada tahap 100 peratus dan sifar ketirisan. Itulah yang kita mahu capai dalam pelaksanaan program ini.
"Sehubungan itu, KPM telah melaksanakan sistem baucar buku secara digital dan dalam talian bagi memastikan manfaatnya dapat disalurkan dengan lebih berkesan kepada pelajar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik Ke-69 di SMJK Ave Maria Convent, Ipoh, Perak.
Tambah Kah Woh, pendekatan digital itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar di kawasan bandar seperti di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Ave Maria, malah turut memudahkan pelajar di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapatkan bahan bacaan yang diperlukan.
"Melalui sistem ini, buku-buku boleh dibeli dengan lebih mudah dan dihantar terus kepada pelajar, termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman," ujarnya.
KPM berharap pelaksanaan Baucar Buku MADANI 2026 dapat terus menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar, selain memberi peluang kepada mereka memilih bahan bacaan yang sesuai bagi meningkatkan pengetahuan serta menyokong proses pembelajaran.