UiTM bawa STEAM keluar bilik darjah, 1,000 murid SK Olak Lempit teroka pembelajaran inklusif

Iklan
Gambar kenangan Program SULAM STEAMFIT 1.0 2026 bertemakan Minda Inovatif, Tubuh Aktif.

Kira-kira 1,000 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Olak Lempit berpeluang menikmati pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif menerusi Program SULAM STEAMFIT anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM), sekali gus membuktikan bahawa pendidikan mampu disampaikan dalam suasana menyeronokkan, aktif dan inklusif.

Program bertemakan 'Minda Inovatif, Tubuh Aktif' itu diterajui oleh Fakulti Kejuruteraan Kimia UiTM dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi serta komuniti SK Olak Lempit.

Iklan
Iklan

Selain penyertaan murid, program itu turut melibatkan kira-kira 250 pensyarah, mahasiswa dan sukarelawan UiTM, menjadikan keseluruhan penglibatan mencecah 1,250 peserta sepanjang pelaksanaannya.

SULAM STEAMFIT merupakan inisiatif pembelajaran berimpak tinggi yang menggabungkan elemen Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) dengan aktiviti kecergasan fizikal menerusi pendekatan pembelajaran secara interaktif.

Iklan

Pendekatan itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan minat murid terhadap bidang STEAM, malah menggalakkan amalan gaya hidup sihat sejak di bangku sekolah.

Demonstrasi bantuan kecemasan yang merangkumi teknik Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) oleh mahasiswa Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM.

Iklan

Apa yang lebih menarik, program tersebut turut memberi penekanan kepada aspek pendidikan inklusif apabila modul pembelajarannya dibangunkan dengan mengintegrasikan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Murid-murid PPKI turut terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti rekreasi yang dirancang, sekali gus membuka ruang pembelajaran yang lebih saksama tanpa mengira keupayaan.

Murid-murid menyertai sesi senamrobik dan aktiviti kecergasan yang dikendalikan oleh mahasiswa Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM.

Ketua Pengarah Program SULAM STEAMFIT, Ts Dr Nur Azrini Ramlee berkata, kolaborasi rentas fakulti itu menjadi platform terbaik untuk memindahkan ilmu daripada warga universiti kepada komuniti sekolah menerusi gabungan akademik, kesukarelawanan dan khidmat masyarakat.

"Program SULAM STEAMFIT dapat memberikan impak positif serta meningkatkan kesedaran murid mengenai kepentingan bidang STEAM, khususnya dalam aplikasi kejuruteraan serta sains sukan dan rekreasi," katanya.

Beliau berharap program berkenaan dapat diteruskan serta diperluaskan ke lebih banyak sekolah dengan sokongan pelbagai rakan strategik.

Menurutnya, inisiatif seperti itu mampu memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti, di samping menyokong usaha melahirkan generasi muda yang kreatif, inovatif, sihat serta berdaya saing selaras dengan aspirasi Malaysia Madani.