Anak Malaysia sememangnya mempunyai potensi besar dalam bidang akademik dan kokurikulum. Tidak kira dari sekolah mana mereka datang, kejayaan sering menjadi milik mereka yang sanggup berusaha, berdisiplin dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian.
Hakikatnya, kecemerlangan bukan berlaku dalam sekelip mata. Di sebalik setiap kejayaan, pasti ada pengorbanan, kerja keras dan semangat untuk terus belajar walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Baru-baru ini, seramai 14 alumni Kolej PERMATA@Pintar Negara menerima tawaran melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka dunia berasaskan kelayakan PERMATA@Pintar High School Diploma (HSD).
Berita membanggakan itu dikongsi oleh Pusat PERMATApintar Negara UKM menerusi hantaran di Facebook rasmi mereka pada Selasa.
Menurut perkongsian tersebut, kejayaan yang diraih bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik para alumni, malah membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap kualiti kurikulum dan sistem pendidikan yang ditawarkan oleh Kolej PERMATA@Pintar Negara.
"Pencapaian ini turut menjadi hasil dedikasi para pelajar, bimbingan berterusan para pendidik serta sokongan padu daripada ibu bapa dan keluarga," menurut hantaran berkenaan.
Apa yang lebih menarik, berdasarkan pemerhatian penulis di ruangan komen dan perkongsian media sosial tersebut, terdapat alumni yang bukan sahaja memperoleh satu tawaran universiti, malah menerima dua dan tiga tawaran serentak daripada institusi pengajian tinggi bertaraf dunia.
Situasi itu menunjukkan bahawa universiti luar negara bukan hanya menilai keputusan peperiksaan semata-mata. Mereka turut melihat potensi pelajar secara menyeluruh termasuk kebolehan berfikir secara kritis, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum, kemahiran komunikasi, kepimpinan serta kesungguhan untuk meneroka ilmu dalam bidang yang diminati.
Kejayaan 14 alumni ini juga membawa mesej penting kepada pelajar lain bahawa tiada jalan pintas menuju kejayaan. Sebaliknya, usaha yang konsisten, sikap ingin belajar dan keberanian mencabar diri sendiri mampu membuka peluang yang tidak pernah disangka-sangka.
Bagi ibu bapa pula, pencapaian ini membuktikan bahawa sokongan berterusan kepada anak-anak sejak usia muda memainkan peranan besar dalam membentuk keyakinan dan kecemerlangan mereka pada masa hadapan.
Jom, Sinar Bestari bawakan senarai alumni yang berjaya menerima tawaran melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka dunia.
Semoga pencapaian mereka menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk berani bermimpi besar dan berusaha merealisasikan impian tersebut.
1) Dayana Marissa Hirman
Bidang: Geologi
Tawaran: University College London (UCL); University of Bristol dan University of Leeds, England
2) Muhammad Adib Adnan
Bidang: Kejuruteraan Perisian
Tawaran: The University of Edinburgh; University of Glasgow dan University of Southampton
3) Khaira Adriana Nor Azizi
Bidang: Sains Data dan Ekonomi
Tawaran: University of Sheffield; University of Warwick dan The University of Manchester
4) Syaza Alya Kamaruzaman
Bidang: Sains Data dan Sains Sosial
Tawaran: University of Leeds; University of Warwick dan University of Sheffield
5) Aishwarya R Hemmanathan
Bidang: Sains Data
Tawaran: University of Leeds dan University of Sheffield
6) Nur Hadith Zahara Suhaimi Abdullah
Bidang: Sains Data
Tawaran: University of Leeds dan University of Sheffield
7) Nasreen Qasrina Nasry
Bidang: Kejuruteraan Mekanikal
Tawaran: The University of Manchester dan University of Leeds
8) Iman Alisya Badaruzaman
Bidang: Perakaunan dan Kewangan
Tawaran: University of Leicester
9) Danyl Muqri Syamsyul Fikri
Bidang: Matematik Aktuari
Tawaran: University of Leeds
10) Qistina Erisya Mohd Khaizan
Bidang: Kimia
Tawaran: The University of Edinburgh
11) Muhammad Azfar Abu Bakar
Bidang: Sains Data
Tawaran: University of Leeds
12) Adrianna Rania Saiful Baharin
Bidang: Perdagangan
Tawaran: University of Sydney, Australia
13) Medina Alysa Norman Yusof
Bidang: Perakaunan & Kewangan
Tawaran: University of Bristol dan University of Birmingham, England
14) Ahmad Dzafran Ahmad Khairulnizam
Bidang: Sains Komputer
Tawaran: University of Glassgow, Scotland