Pensyarah International Welding Inspector Certification Center (IWICC), TVETMARA Jasin, Melaka, Zulfakar Maamor bukanlah seorang tenaga pengajar biasa.
Hampir 40 tahun beliau menabur bakti dalam dunia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), mendedikasikan seluruh kepakaran, pengalaman dan komitmennya bagi melahirkan tenaga mahir yang menjadi tulang belakang pembangunan industri negara.
Atas jasa dan sumbangan besar itulah, Zulfakar dinobatkan sebagai Tokoh Pendidik MARA 2026 sempena Hari Anugerah Pendidik MARA 2026 yang berlangsung di Hotel Premiera Kuala Lumpur.
Menurut perkongsian di Facebook rasmi TVETMARA Jasin, Zulfakar merupakan seorang Pakar Welding Inspector yang disegani dalam bidangnya.
"Beliau bukan sahaja dikenali kerana kecemerlangan dalam bidang kimpalan, malah menjadi individu yang mencetuskan penubuhan IWICC di TVETMARA Jasin, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pelajar memperoleh latihan dan pensijilan bertaraf antarabangsa.
"Keunggulan beliau turut dibuktikan melalui pengiktirafan profesional di peringkat global apabila berjaya memperoleh pensijilan European Welding Specialist (EWS) dan International Welding Specialist (IWS).
"Pencapaian tersebut meletakkan beliau dalam kelompok pakar kimpalan yang diiktiraf di persada dunia, selain membuktikan bahawa anak tempatan juga mampu berdiri sebaris dengan pakar antarabangsa," kongsi hantaran itu.
Sepanjang hampir empat dekad berkhidmat, Zulfakar telah membimbing dan melahirkan ribuan tenaga profesional yang kini berkhidmat dalam pelbagai sektor strategik.
Antaranya termasuk tenaga kerja mahir yang menyumbang kepakaran di syarikat bertaraf dunia seperti PETRONAS, Malaysia Marine & Heavy Engineering (MMHE) dan ExxonMobil, selain pelbagai organisasi terkemuka di dalam serta luar negara.
Lebih istimewa, kejayaan beliau tidak hanya diukur melalui jumlah graduan yang dilahirkan, tetapi juga melalui nilai, semangat dan keyakinan yang diterapkan kepada setiap anak didiknya.
Semangat itulah yang menjadikan beliau bukan sekadar seorang pensyarah, malah mentor, pembimbing dan pencetus kecemerlangan kepada ramai pelajar sepanjang kerjayanya.
Hari Anugerah Pendidik MARA 2026 yang bertemakan 'Guru Bitara, Nadi Negara' menjadi platform menghargai jasa dan dedikasi warga pendidik di 346 Institusi Pendidikan MARA (IPMA) yang berperanan melahirkan modal insan Bumiputera berilmu, berkemahiran serta berdaya saing di peringkat global.
Selain Anugerah Tokoh Pendidik MARA 2026 yang diterima Zulfakar, majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pendidik Cemerlang MARA, Anugerah Institusi Pendidikan MARA Terbaik, Anugerah Khas Hari Pendidik, Anugerah Ikon Pendidik Wanita, Anugerah Ikon Pendidik Lelaki serta Anugerah Pakar Subjek atau Kluster.