'Gelak tawa, senyuman, suara & kenangan bersamanya akan terus hidup dalam ingatan kami' - Luahan sebak bapa Allahyarham Nur Dhia An-Nuha buat ramai mengalirkan air mata

Iklan
Sebelum disahkan menghidap leukemia akut, arwah (kiri) merupakan seorang remaja yang aktif dalam aktiviti sekolah, ceria dan tidak memiliki sebarang sejarah penyakit kronik. Foto: Facebook Pizam Bieha

"Kami reda dengan ketentuan ALLAH SWT. Semoga setiap kenangan ini menjadi asbab kami terus mendoakanmu tanpa henti. Semoga ALLAH mengampuni segala dosamu, melimpahkan rahmatNya, meluaskan kuburmu serta menempatkanmu dalam kalangan para solihin dan ahli syurga." 

Demikian luahan penuh sebak seorang bapa yang hanya mahu dikenali sebagai Piezam mengenai pemergian anak kesayangannya, Allahyarham Nur Dhia An-Nuha Hapizam, 16, yang meninggal dunia akibat leukemia akut.

Iklan
Iklan

Perkongsian itu bukan sahaja menyentuh hati keluarga dan sahabat terdekat, malah turut mengundang rasa hiba dalam kalangan warga maya yang mengikuti perjalanan arwah sepanjang menerima rawatan.

Menurut bapanya, Allahyarham Nur Dhia An-Nuha merupakan pelajar Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bera, Pahang.

Iklan

"Sebelum disahkan menghidap leukemia akut, arwah merupakan seorang remaja yang aktif dalam aktiviti sekolah, ceria dan tidak memiliki sebarang sejarah penyakit kronik.

"Malah, dalam sejarah keluarga kedua-dua belah ibu bapanya juga tidak pernah ada rekod penyakit kanser darah," tulisnya menerusi media sosial.

Iklan

Namun, dalam tempoh yang singkat, keluarga mula menyedari beberapa perubahan fizikal yang berlaku kepada arwah.

Antara gejala awal yang dialami ialah kesan lebam pada kedua-dua kaki dan lengan kanan selama beberapa hari, selain pendarahan gusi serta demam.

Pada awalnya, keluarga tidak menyangka simptom tersebut merupakan petanda kepada penyakit serius memandangkan demam yang dialami kembali reda dan arwah tidak menunjukkan tanda-tanda lain seperti batuk berpanjangan atau penurunan berat badan secara mendadak.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut memberi khabar yang amat mengejutkan.

Menurut ringkasan laporan perubatan yang dikongsikan, keputusan ujian darah menunjukkan hemoglobin rendah (anemia), platelet sangat rendah (0) menyebabkan risiko pendarahan yang sangat tinggi.

"Sel darah putih terlalu tinggi. Keadaan ini menyebabkan doktor sangat mengesyaki arwah menghidap leukemia akut (kanser darah akut). Doktor pakar hematologi turut dimaklumkan dan mencadangkan pemeriksaan sumsum tulang (Bone Marrow Aspiration Test - BMAT) untuk mengesahkan diagnosis," tulisnya lagi.

Dalam satu lagi perkongsian yang dimuat naik selepas pemergian anaknya, Piezam menulis sebuah nukilan yang begitu menyentuh hati sehingga ramai warga maya mengakui tidak mampu menahan sebak ketika membacanya.

Menurut beliau, ketika meneliti semula koleksi video lama keluarga, mereka menemukan rakaman Nur Dhia menyanyikan lagu Muhasabah Cinta.

Rakaman yang suatu ketika dahulu sekadar menjadi kenangan biasa kini membawa makna yang jauh lebih mendalam.

"Hari ini, ketika meneliti kembali koleksi video lama, kami menemukan rakaman Nur Dhia menyanyikan lagu Muhasabah Cinta. Setiap bait lirik dan setiap alunan suaranya kini terasa begitu dekat di hati, seolah-olah membawa makna yang hanya kami fahami setelah ALLAH menjemputnya pulang.

Dahulu kami hanya mendengar sebuah lagu, namun hari ini kami memahami setiap maksud yang tersirat. Seakan-akan lirik itu menjadi sebuah peringatan tentang kehidupan yang sementara, tentang kasih sayang, tentang reda, dan tentang kepulangan seorang hamba kepada Penciptanya.

Nur Dhia An-Nuha pernah hadir sebagai cahaya yang mewarnai setiap detik kebahagiaan kami sekeluarga. Gelak tawanya, senyumannya, suaranya dan kenangan bersamanya akan terus hidup dalam ingatan serta doa kami.

Kami reda dengan ketentuan ALLAH. Semoga setiap kenangan ini menjadi asbab kami terus mendoakanmu tanpa henti. Semoga ALLAH mengampuni segala dosamu, melimpahkan rahmat-Nya, meluaskan kuburmu, serta menempatkanmu dalam kalangan para solihin dan ahli syurga.

Al-Fatihah buat Almarhumah Nur Dhia An-Nuha," tulisnya lagi.

Sama-sama kita mendoakan agar Allahyarham Nur Dhia An-Nuha Hapizam dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman serta beroleh syurga yang dijanjikan.